Gempa bumi dan tsunami  melanda Indonesia hingga meragut banyak nyawa serta kemusnahan harta benda, baru-baru ini  menimbulkan keresahan masyarakat kita apabila muncul beberapa viral mengatakan titik gempa makin menghampiri  Malaysia, maka negara kita juga akan dilanda gempa bumi yang dahsyat. Apa kata geosaintis dalam isu viral ini?  

Penduduk Janda Baik bimbang gegaran berulang?   

Sharmi menunjukkan kesan retakan di dinding Pondok Polis Janda Baik ketika gegaran dulu walaupun sudah dibaiki semula sebelum ini.

Seorang anggota polis  yang bertugas di Pondok Polis Kampung Janda Baik, Pahang mendakwa terkejut apabila viral di media sosial konon Semenanjung Malaysia akan dilanda gempa bumi.Penduduk Janda Baik bimbang gegaran berulang

Maklum sahaja, Koperal Sharmi Shamsudin, 35, pernah merasa pengalaman bertugas ketika gegaran di Janda Baik sekitar tahun 2007  dulu.  

"Saya dengar bunyi kuat macam bom, tak lama kemudian berlaku gegaran sampai nampak atap rumah bergoyang-goyang dan tanah tempat saya berpijak juga bergegar.

"Gegaran tu tak kuat sangat jadi saya pun tak terlalu takut lagi pun  sekejap saja dalam empat hingga enam saat  tapi masih boleh rasa (gegar)  sebab kerusi saya duduk pun bergegar," katanya menceritakan kejadian pada sebelah pagi.

Menurut Sharmi, kejadian berulang sekitar jam 3 petang ketika kebetulan dia berada di rumah bersama  keluarganya apabila  rumah tiba-tiba  bergegar lalu mereka segera keluar kerana takut jika ada kejadian buruk memandangkan  gegaran kali kedua itu  lebih menakutkan.

"Bila keadaan kembali normal, saya membuat rondaan untuk melihat situasi kampung. Kelihatan penduduk  berada di luar rumah, bertanya saudara mara mengenai kejadian berlaku itu.

"Banyak juga laporan polis daripada penduduk kampung. Mereka rasa takut dan minta bantuan jika berlaku sebarang bencana,"  katanya yang kini sudah 21 tahun bertugas di Janda Baik.

Menurutnya, biarpun kejadian itu sudah lama namun terpahat dalam ingatan sebagai antara pengalaman dihadapinya sepanjang menjadi anggota polis dan ingatan itu tersentuh dengan kemunculan viral, baru-baru  ini.

"Agak takut sedikit tapi saya sentiasa siap sedia dengan sebarang kemungkinan. Saya tetap nak bertugas di sini.

"Lagipun menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan keamanan kepada penduduk kampung di sini," katanya.

Sementara itu, tinjauan terkini Wartawan Sinar Siasat  mendapati hanya satu laluan untuk keluar masuk ke Kampung Janda Baik. Jika berlaku sebarang bencana seperti tanah runtuh, penduduk akan terputus jalan untuk keluar dari kawasan berkenaan.

Justeru, Ketua Kampung Janda Baik, Zahari Arop meminta kerajaan melalui Jabatan Meteorologi Malaysia sentiasa membuat kajian berkenaan  gegaran di kampung tersebut.

Zahari menunjukkan kesan retakan di dinding rumahnya ketika gegaran dulu walaupun sudah diabiki sebelum ini.

"Jika sentiasa buat kajian, kami boleh bersedia untuk  keluar dari kawasan ini memandangkan hanya satu laluan yang ada. Memang dari dulu tak ada jalan alternatif, kalau tanah runtuh memang kita tak dapat keluar.

"Bayangkan seramai kira-kira 3,000 penduduk tinggal di sini, itu belum masuk jumlah pekerja kilang berdekatan hampir 1,000 orang dan ada juga  pelancong," katanya.

Kata Zahari, dia sentiasa prihatin dan mengingatkan penduduk supaya berjaga-jaga misalnya keluar ke kawasan lapang dengan cepat jika berlaku gegaran.

"Jangan duduk dalam rumah, kena lari keluar dari rumah bagi mengelak terkena runtuhan struktur kediaman," katanya.

Berkenaan gegaran di kampung itu sekitar tahun 2009,  Zahari berkata, gegaran yang direkodkan pada 3.1 skala Richter telah menyebabkan penduduk panik tambahan ia kejadian pertama berlaku di situ.

"Kejadian yang berlaku dalam beberapa saat itu menyebabkan sebahagian penduduk berlari keluar rumah kerana terkejut.

"Mereka terperanjat sebab tak pernah berlaku, jadi saya minta jika berlaku lagi mereka kena keluar ke kawasan lapang untuk selamatkan diri," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kejadian sedemikian pernah juga melanda kampung itu pada tahun 2004 hingga 2007.

"Gegaran tak kuat tetapi tetap boleh dengar pinggan mangkuk berlaga. Ada segelintir rumah penduduk retak sikit-sikit, begitu juga rumah saya.

"Ada penduduk kampung syak gegaran itu dikaitkan dengan kesan kerja-kerja pembinaan terowong untuk hantar bekalan air ke Selangor, kebetulan masa itu terowong dikorek," katanya.

Kejadian itu juga memberikan kesan kepada industri pelancongan ke Kampung Janda Baik yang sememangnya terkenal sebagai tempat istirehat sama ada pelancong tempatan atau luar negara.

Katanya, dalam tempoh dua ke tiga tahun kehadiran pelancong begitu berkurangan ke kampung berkenaan.

"Bukan sahaja pelancong malah pemilik chalet dan 'homestay' juga tak berani ke sini kerana risau keselamatan.

"Tapi sekarang pelancong sentiasa keluar masuk khususnya pada hari minggu dan cuti umum," katanya.

Untuk  rekod, Kampung Janda Baik  dibuka pada tahun 1932 terbahagi kepada tiga kampung iaitu Sum Sum, Chermin dan Chemperoh.

Berikutan kejadian gegaran melanda Janda Baik dan Bukit TInggi, Jabatan Meteorologi Malaysia membina Stesen Seismologi di kawasan Pondok Polis Janda Baik  yang berfungsi menghantar maklumat dalam tempoh 24 jam berkaitan gegaran.

Stesen itu akan menghantar Data Waveform (dalam format MiniSeed) yang digunakan dalam sistem pemprosesan (Antelope dan Seiscomp3) bagi penentuan parameter gempa bumi seperti masa kejadian, lokasi, magnitud dan kedalaman gempa bumi.

Sementara itu, beberapa penduduk menceritakan kepada Wartawan Sinar Siasat, mereka  terkejut ketika berlaku gegaran di Kampung Janda Baik beberapa tahun dulu  yang pada awalnya disangkakan kesan letupan akibat kerja-kerja pembinaan  loji air di kawasan berdekatan.  

Bagaimanapun  setakat ini saintis berpendapat, kejadian  itu adalah gegaran gempa bumi.

Menceritakan detik kejadian, Oktarina Rosli, 50 berkata, dia merasai  gegaran itu ketika sedang  menyapu sampah di halaman kedai makan miliknya di Kampung Sum Sum,  sekitar jam 10 pagi.

"Kemudian saya terkejut bila mendengar seperti benda berat  jatuh begitu kuat. Pada masa sama tanah kelihatan bergoyang dan badan saya ikut bergoyang," katanya.

Waktu itu kata Oktarina, beberapa pelanggan yang berada di kedainya turut merasa  terkejut dengan kejadian itu.

"Saya tanya jiran-jiran,  mereka pun mendengar bunyi benda jatuh itu dan  rasa badan bergoyang. Gegaran itu cuma beberapa saat sahaja tetapi berulang dari pagi sampai tengah malam," ujarnya yang juga menjual pisang goreng.

Seorang lagi penduduk, Hasnah Abd Rahman, 65, memaklumkan tanah dan rumput di hadapan rumahnya kelihatan bergoyang-goyang ketika gegaran berlaku di kawasan Janda Baik.

"Ketika itu, saya sedang sapu sampah di halaman rumah. Saya nampak rumput bergoyang-goyang dan tanah di halaman rumah juga kelihatan seperti  menurun.

Kejadian berlaku  cuma beberapa saat," kata warga emas berkenaan.