TREND stesen televisyen (TV) menayangkan drama kisah cinta pasangan muda dan lambakan drama adaptasi novel menyukarkan seseorang penulis skrip untuk mencipta  watak melibatkan artis veteran.

Penulis skrip terkenal, Maizura Mohd Ederis berkata, ini kerana jalan cerita drama bersiri dan telemovie diluluskan oleh stesen TV menyebabkan 'kuasa' penulis skrip terhad.

"Sejak lima tahun kebelakangan ini, stesen TV banyak meluluskan cerita mengenai rumah tangga pasangan muda, kisah kahwin paksa atau kisah merampas suami orang, drama rumah tangga berpoligami, pasangan curang dan kes balas dendam. Bila konflik seperti ini, selalunya watak pembantu sama ada  ibu bapa atau emak dalam drama begini diberikan kepada pelakon lebih muda yang popular sekitar 90-an atau awal tahun 2000.

"Trend ini terikut-ikut seperti watak di dalam sinetron (drama luar negara). Misalnya menampilkan watak emak yang bergaya memakai bulu mata dan rambut palsu.  Jadi, pelakon veteran nak letak mana?" Ujar Maizura.

Penulis skrip filem Bisik Pada Langit bersama Sofia J. Rhyland  ini menambah, beliau bersetuju sekiranya seseorang penulis skrip itu boleh meletakkan sama ada watak nenek atau datuk untuk diberikan kepada artis veteran  dalam drama atau telemovie tetapi peranan mereka cuma boleh membantu kerana plot cerita diluluskan oleh stesen TV.

Tegas Maizura, selain 'kuasa' di tangan stesen TV, kekangan penulis skrip untuk membuat watak sedemikian juga  tambah sukar dengan kerancakan drama adaptasi novel pada hari ini kerana kebanyakan jalan cerita novel tidak memaparkan watak orang tua sama ada nenek atau datuk.

"Kebanyakan novel memaparkan watak ibu bapa, tidak memilih watak nenek atau datuk. Pada masa sama saya pun tak setuju jika watak emak yang kelihatan seperti watak adik beradik dalam sesebuah drama apabila dilakonkan pelakon muda. Kita kena hentikan budaya ini dan sangat alu-alukan stesen TV memainkan peranan ini dan kami boleh bantu.

"Stesen TV kena mainkan peranan terutama bagi saluran perdana.  Mereka perlu berani untuk menyiarkan  drama- drama yang kononnya tak akan dapat sambutan jika menggunakan hero dalam kalangan pelakon veteran. Tetapi hakikatnya cuba lihat drama Kembalikan Syawalku, Seindah Pelangi Senja dan filem Bisik Pada Langit, boleh berjaya!" kata Maizura sambil memberikan contoh.

Tegas Maizura, kandungan cerita yang sama dan hampir sama di stesen TV  tambah menyukarkan penulis skrip untuk menyelitkan wata-watak untuk dipegang oleh artis veteran.

"Stesen TV jangan terlalu ghairah menghidangkan kisah cinta pasangan muda mudi sahaja. Saya berpandangan stesen TV kena kembali ke tahun- tahun sebelum ini apabila slot telemovie dan drama bersiri banyak mengangkat cerita melibatkan watak orang tua. Buat masa ini saya lihat RTM lebih selesa mengangkat orang lama sebagai watak utama berbanding stesen TV lain,"katanya.

Menurutnya, drama terbaharu beliau berjudul Sepasang Awan Putih di RTM- watak emak dalam drama itu dibawakan artis veteran Rashidah Jaafar boleh jadi contoh.