STESEN televisyen (TV) berkuasa untuk memilih skrip drama dan telemovie yang boleh menaikkan 'rating' penonton.

Pemilik syarikat produksi Art Ornament Sdn Bhd, Aida Othman, 42, berkata stesen TV juga memilih pelakon yang boleh menaikkan rating untuk drama dan telemovie tersebut tetapi masih ada stesen TV yang berbincang dengan penerbit mengenai perkara itu.

"Keputusan juga dibuat oleh kedua-dua pihak bukan hanya stesen TV.

"Saya tak nak menyalahkan stesen TV jika pilih artis tertentu untuk jaga 'rating' walaupun ia menyebabkan artis-artis lama terpinggir," katanya.

Namun menurut Aida, perkara perlu dilihat sekarang adalah trend drama di di stesen TV sekarang ini yang melambak  cerita dan 'content' memaparkan kisah moden, tiada lagi situasi menggambarkan suasana kampung.

"Saya harap stesen TV lebih mempelbagaikan jalan cerita dan jangan hanya pilih cerita yang macam sekarang iaitu kisah orang ketiga dalam rumahtangga.

"Macam sekarang,  banyak cerita cenderung kepada kehadiran orang ketiga dalam rumah tangga, kebanyakan cerita  sama saja," katanya.

Pada masa sama, dia mengakui majoriti penonton drama di  negara ini kebanyakannya wanita mahukan cerita yang bersangkutan dengan  perasaan serta emosi mereka.

"Kita dah terlalu banyak buat cerita dan genre yang sama, kita sebagai produser dah hantar proposal mcm-macam tajuk tetapi pemilihan stesen televisyen berdasarkan cerita yang menaikkan rating sekarang.

"Kita pun kena faham stesen televisyen mereka pun nak jaga rating dan jaga bisness. Kita faham keadaan mereka," katanya.

Namun beliau berpendapat,  stesen TV kena buka mata dan sudah  tiba masa keluar daripada zon selesa itu.

"Jadi isu  berbangkit terhadap  pelakon lama tak ada 'job' mungkin disebabkan permintaan skrip itu sendiri. Kalau cerita melibatkan pelakon-pelakon lama, ia  kurang 'feedback', " kata Aida.

Mengulas mengenai isu bayaran kepada artis Aida berkata, bayaran adalah berdasarkan kepada populariti dan bakat seseorang artis dan penerbit berkenaan sempat menyentuh isu bayaran kepada pelakon veteran popular Jalil Hamid, baru-baru ini.

"Isu pelakon, Jalil Hamid dapat bayaran tak setimpal itu agak tak adil kerana dia pelakon lama.  Sebagai produser, saya akan bersikap adil kepada pelakon-pelakon lama berdasarkan watak diberikan.

"Contohnya pelakon tambahan ada 'rate' tertentu dan jika pelakon utama pula harganya lain," katanya.

Penerbit wanita dengan wajah ayu itu tidak menafikan ada segelintir syarikat produksi lebih mementingkan artis baharu yang popular dan meminggirkan artis veteran. 

"Saya harap ada perbincangan pada masa akan datang berkenaan isu-isu ini agar semua artis tidak kira baharu atau lama mendapat tempat sewajarnya," katanya.