Ketua Seksyen Pengurusan Operasi, Bahagian Operasi dan Penyelamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,  Haron Tahir berkata, sudah sampai masa pihak terbabit mengkaji semula reka bentuk penghadang besi atau railing yang dipasang di sesebuah kediaman melibatkan bangunan tinggi.

"Dari segi keselamatan, saya boleh beri nasihat secara peribadi bahawa standard atau piawaian memang telah dipatuhi di peringkat antarabangsa di mana ketinggian penghadang tidak melebihi satu meter.

"Tetapi kita dapati kebanyakan reka bentuk penghadang  mempunyai sifat atau ciri-ciri yang  boleh dipanjat kanak-kanak.  Bagi kanak-kanak yang hiperaktif, kemungkinan mereka memanjat  (penghadang atau railing)  memang tidak boleh dielakkan jika tiada kawalan ibu bapa atau orang dewasa," katanya.

Berkenaan penghadang besi yang dipasang di laluan tangga pula, beliau berkata, ia bukan kuasa bomba secara mutlak jika ada  kejadian kanak-kanak jatuh dari bangunan tinggi yang berpunca daripada struktur atau reka bentuk penghadang yang telah disediakan pihak pembinaan. 

"Tangga keselamatan kebakaran perlu untuk Jabatan Bomba. Pihak kami telah menetapkan saiz membabitkan saiz tangga yang perlu ada hand railing. Sudah sampai masanya juga jabatan dan pihak berkenaan mengkaji semula reka bentuk yang sesuai dari aspek pemasangan hand railing pada tangga," katanya.

Beliau berkata, orang ramai juga dinasihatkan memasang jeriji di kediaman masing-masing demi menjaga keselamatan penghuni khususnya kanak-kanak.

Katanya, pemilik rumah digalakkan memilih jenis jeriji yang betul dan selamat sebelum membuat keputusan memasang alat tambahan itu.

Beliau menyarankan supaya mereka memilih jeriji yang dapat dibuka dengan mudah dari bahagian dalam sekiranya berlaku sebarang kecemasan atau kejadian yang tidak diingini.