RENTETAN  kejadian seorang kanak-kanak perempuan maut selepas terjatuh dari balkoni rumahnya di Tingkat 17, Blok A Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara pada 13 September lalu, isu keselamatan sama ada benar-benar terjamin untuk kanak-kanak di kawasan PPR itu dipersoalkan semula apabila sekumpulan suri rumah meluahkan kebimbangan mereka yang terpaksa 24 jam berjaga-jaga dengan tingkah laku anak-anak mereka.Isu

Suri rumah risau jika ada besi mudah patah

Wartawan Sinar Siasat membuat tinjauan dan menemubual beberapa suri rumah yang sekarang ini bimbang dengan tahap keselamatan di kawasan kediaman melibatkan bangunan 18 tingkat itu kerana mereka mendakwa penghadang besi yang dipasang di koridor memerlukan penambahbaikan kerana sudah ada dimakan karat dan dibimbangi tidak kukuh lagi.

Che Noorlaini Che Ariffin, 33, berkata, satu batang besi di hadapan rumahnya ada yang tercabut di bahagian atas hingga boleh ditarik menyebabkan dia risau mengenai keselamatan anaknya.

"Besi railing depan rumah saya ni sudah setahun tercabut. Saya rasa sekali tolak memang terus renggang dan mungkin boleh patah," katanya yang menunjukkan kedudukan batang itu kepada Wartawan Sinar Siasat.

Berikutan bimbang dengan keselamatan anak-anaknya, Che Noorlaini tidak membenarkan anak-anaknya bermain di luar rumah apatah lagi berhampiran situ.

"Saya ni duduk tingkat 17, jadi saya sentiasa pantau mereka kerana tak mahu kes yang pernah meragut anak penghuni kira-kira tiga tahun lalu terjadi kepada anak-anak saya pula," katanya.

Wanita ini menunjukkan sebatang rod besi yang tercabut di bahagian atas kepada Wartawan Sinar Siasat.

Begitu juga dengan seorang lagi suri rumah, Nasirah Awae, 36, yang mendakwa terdapat railing di kawasan koridor menghala ke rumahnya yang dilihat makin reput kerana dimakan karat dan memerlukan penggantian railing baharu.

"Saya memang risau sebab railing nampak berkarat dan makin reput. Nampak railing seolah-olah kuat tetapi bila kita tolak ia mudah patah.

"Kanak-kanak pula ketika main di depan rumah tak sedar keadaan railing itu. Ada yang bersandar dan bermain tolak-menolak di situ," katanya yang mempunyai tiga orang anak.

Sehubungan itu katanya, dia jarang membenarkan anak-anaknya bermain bersendirian di luar rumah.

"Saya hanya benarkan anak-anak yang sudah besar ikut kawan-kawan manakala yang masih kecil saya tak benarkan keluar main di luar," katanya.

Lagi menceritakan mengenai isu keselamatan anaknya, dia mengakui berhasrat memasang railing di balkoni rumah tetapi belum tercapai kerana kos pemasangan yang mahal.

"Saya tak pasang lagi sebab kosnya mungkin lebih RM500. Buat masa ini saya selalu tutup pintu di balkoni masa saya ke dapur memasak atau semasa meninggalkan anak-anak bersendirian di ruang tamu," katanya.

Bagi Siti Norhafizah Zainal Abidin, 27, pula walaupun penghadang besi di hadapan rumahnya nampak baharu, tetapi dia tetap khuatir ia tidak kukuh dan reput.

"Memang risau sangat sebab kadang-kadang anak-anak ke luar dan bimbang mereka main (berhampiran railing). Jadi saya terpaksa pantau anak-anak selalu. Bukan sekadar selepas

insiden ada budak jatuh dulu, tetapi saya memang pantau anak-anak sejak dulu lagi.

"Railing dalam rumah pun saya belum pasang sebab ia melibatkan kos," katanya.

Seorang lagi suri rumah, Fauziah Abu Asri, 34, meluahkan hasrat cuma mahu memasang railing di balkoni rumahnya sekiranya berpindah ke rumah baharu.

"Kalau nak pasang perlukan modal besar, kami belum mampu lagi. Tak silap saya kosnya dalam RM600.

"Sementara ni, saya selalu tutup pintu dan pantau pergerakan anak-anak kebetulan pula saya tidak bekerja dan sentiasa dengan mereka sepanjang masa," katanya.

Sementara itu kata Fauziah, dia mahu berpindah dari kediaman sekarang ini di tingkat 18 kerana rumah didiaminya sekarang ini tidak selesa akibat siling yang bocor hingga dimasuki hujan.

"Saya nak pindah rumah secepat mungkin sebab tidak tahan lagi tinggal di rumah ini.

"Bila hujan, airnya masuk melalui siling yang bocor menyebabkan saya risau untuk nyalakan lampu dan kipas. Saya bimbang akan berlaku renjatan elektrik. Bayangkan jika ditadah boleh dapat sebaldi air hujan yang menitis dari siling bocor," kata suri rumah berkenaan.