PENGGUNA dan peniaga online terdedah dengan penipuan siber  atau scammer melalui beberapa taktik digunakan penjenayah.

Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), Khirulnizam Abd Rahman berkata, antaranya termasuk melalui memuat turun aplikasi percuma dan penggunaan WiFi percuma yang mudah didapati di restoran mahupun tempat awam.

"Risiko pada WiFi percuma yang tidak dibekalkan dengan kata laluan. Apabila kita 'connect' dengan WiFi terbuka tapi tidak perlu memasukkan kata laluan,  "Unsecured Wifi" seperti ini tidak mengimplemen piawai keselamatan rangkaian WPA/WPA2.

"WPA/WAP2 menyediakan penghantaran data yang disulitkan (encrypted). Jadi sekiranya WiFi tidak menyediakan penyulitan data seperti ini akan menyebabkan data peribadi seperti nama, nombor kad pengenalan dan nombor kad kredit boleh dibaca oleh mata kasar.

"Satu kajian pada 2016 oleh Symantec, 60 peratus daripada 1025 pengguna WiFi percuma percaya bahawa WiFi tersebut selamat digunakan. Ini bermaksud pengguna biasa percayakan WiFi percuma untuk melakukan semua transaksi Internet seperti membuat belian online," katanya.

Jelasnya, untuk aplikasi percuma pula, kebanyakan aplikasi tanpa disedari turut terkandung perisian hasad yang secara sengaja diprogramkan untuk menyebabkan kesan buruk kepada data, peranti dan juga pengguna.

"Aplikasi dimuat turun tadi biasanya penjenayah akan menggunakan taktik memancing maklumat.

"Pada kebiasaanya, pengguna perlu daftar masuk untuk menggunakan sesuatu aplikasi dan berisiko data mereka dicuri oleh pihak ketiga," katanya.

Apa itu perisian hasad?               

1. Perisian hasad merupakan sebarang jenis perisian direka untuk membahayakan komputer.

2. Perisian hasad boleh mencuri maklumat sensiti dari komputer, secara beransur-ansur melambatkan komputer atau menghantar e-mel palsu dari akaun e-mel anda tanpa pengetahuan.

Berikut ialah beberapa jenis perisian hasad biasa yang mungkin pernah didengari:

Virus: Program komputer berbahaya yang boleh menyalin dirinya sendiri dan menjangkiti komputer.

Cecacing:Program komputer berniat jahat yang menghantar salinan dirinya ke komputer lain menerusi rangkaian.

Perisian intip: Perisian hasad yang mengumpul maklumat daripada orang tanpa pengetahuan mereka.

Perisian iklar:Perisian yang secara automatik memainkan, memaparkan, atau memuat turun iklan pada komputer.

Kuda Trojan: Program yang merosakkan yang berpura-pura menjadi aplikasi yang berguna, namun membahayakan komputer anda atau mencuri maklumat anda selepas dipasang.

Cara perisian hasad tersebar:

1. Memuat turun perisian percuma dari Internet yang secara rahsia mengandungi perisian hasad.

2. Memuat turun perisian sah yang secara rahsia dibundel dengan perisian hasad.

3. Melawat tapak web yang yang dijangkiti dengan perisian hasad.

4. Mengklik mesej ralat palsu atau tetingkap pop timbul yang memulakan muat turun perisian hasad.

5. Membuka lampiran e-mel yang mengandungi perisian hasad  (Sumber - GOOGLE)          

Cara elak ditipu penyangak siber                

1. Tidak masukkan data sensitif seperti nombor IC, nombor kad kredit dalam  web tiada  HTTPS.

2. Jangan klik pautan tidak dikenali.

3. Sentiasa curiga permintaan maklumat sensitif dari whatsapp, mesej atau email tidak dikenali.

4. Tidak guna Wifi umum sewaktu pembelian online, perbankan online.