PERSATUAN  Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menerima banyak aduan daripada mangsa jenayah siber atau scammer, sejak akhir-akhir ini.

Ketua Aktivisnya,  Datuk Nadzim Johan tidak menolak antara penyebab utama orang awam termasuk peniaga Online menjadi mangsa scammer akibat sewenang-wenangnya tertarik  dengan tawaran lumayan sindiket  scammer.

“Pelbagai cara scammer antaranya melalui panggilan talefon, pelaburan dan pelbagai lagi taktik.  Mereka mudah mendapat maklumat terhadap mangsa , kebarangkalian menerusi  laman sosial seperti Facebook (FB),” katanya kepada Wartawan Sinar Siasat.

Kata Nadzim, setakat pengetahuannya penipuan membabitkan kes scammer mencatatkan jumlah kerugian mencecah ratusan juta ringgit.

Menurutnya, buat masa ini terdapat lebih 100 buah syarikat  disenaraikan sebagai scammer dan orang awam perlu berhati-hati.            

MODUS OPERANDI SCAMMER                

i) Cabutan bertuah

Mangsa terima panggilan telefon memenangi pertandingan cabutan bertuah bernilai jutaan dolar, seterusnya menerima nombor telefon untuk dihubungi sekiranya mangsa mahu tuntut hadiah. Mangsa diminta  membayar cukai dan insuran dengan cara memasukkan wang ke dalam akaun tertentu untuk tuntut hadiah. Selepas transaksi selesai, pemanggil gagal dihubungi dan wang hadiah tidak diterima.

ii) 'Spoofing' pegawai polis / agensi kerajaan

Pengadu  terima pangilan telefon daripada individu menyamar sebagai pegawai mahkamah dan polis serta mendakwa pengadu terlibat dalam kegiatan haram seperti ah long, kongsi gelap dan pengedaran dadah dan mangsa kemudian diminta melakukan transaksi wang dari akaunnya ke dalam akaun tertentu, kononnya bagi mengelakkan akaun mangsa dibekukan pihak berkuasa.

iii) 'Spoofing' pegawai bank negara atau bank komersil (kad kredit)

Mangsa menerima panggilan daripada pemanggil menyamar sebagai pegawai bank mengatakan mangsa gagal membuat bayaran kad kredit. Pengadu kemudiannya diarah menghubungi individu, kononnya pegawai dari Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau akaun bank dibekukan. Mangsa diperdaya memindahkan wang ke nombor akaun tertentu melalui e-banking atau melalui mesin deposit tunai (CDM).

(iv) Tipu culik dan minta wang tebusan

Mangsa menerima panggilan telefon daripada seseorang mendakwa anak atau saudaranya diculik. Mangsa diperdaya untuk memindahkan wang tebusan ke nombor akaun pihak ketiga yang diberikan oleh pemanggil.