POLIS Diraja Malaysia ( PDRM) akan melakukan pantauan bagi memastikan tidak berlaku penyalahgunaan membabitkan seragam anggota dan pegawai polis berikutan ia banyak dijahit oleh warga Bangladesh di pekan Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya akan memantau dan mengenal pasti kedai terlibat sekiranya wujud dalam kalangan kedai jahit itu menjual seragam polis.

"Di bawah akta polis, tidak dibenarkan sebarang penjualan tanpa permit apa juga perkakasan, pakaian, topi kerana ia merupakan satu kesalahan," katanya.

Kata Noor Rashid, PDRM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan di bawah akta polis jika aktiviti berkenaan  boleh mendatangkan ancaman kepada negara.

Sementara itu, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Hamidi Adam  bimbang sekiranya warga Bangladesh menerima tempahan daripada individu yang merancang untuk melakukan penyamaran sebagai penguatkuasa.

"Umum tahu, menjadi kesalahan untuk orang awam membeli dan menggunakan seragam penguat kuasa. Setiap uniform penguatkuasa termasuk imigresen diwartakan dan menjadi kesalahan kepada orang awam untuk menggunakan pakaian tersebut.

"Imigresen bimbang jika ada individu yang menyamar sebagai pegawai Imigresen dan menyalahgunakan nama jabatan ini," katanya.

Menurut Hamidi, Jabatan Imigresen akan mengambil tindakan lanjut terutama sekiranya tukang jahit warga asing itu tidak mempunyai permit sah.

"Pada masa sama, saya minta orang awam segera membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya mendapat maklumat ada peniaga menjual pakaian seragam pegawai Imigresen," katanya.

Berdasarkan hasil tinjauan Wartawan Sinar Siasat di pekan tersebut, baru-baru ini seragam Imigresen antara yang dijahit tukang jahit warga Bangladesh.