SESEORANG  penulis skrip tidak keberatan untuk mewujudkan plot melibatkan peranan artis veteran sekiranya kuota itu perlu ada dalam sesebuah drama bersiri, telemovie atau filem.

Penulis skrip drama, Zubadiah Hashim berkata, selain memberikan penghormatan kepada  semua artis veteran,  langkah itu memberi kesinambungan dan peluang kepada mereka untuk mencari rezeki selagi seseorang anak seni itu mampu beraksi.

"Jika kita abaikan mereka,  pasti semakin lama semakin kurang kehadiran artis veteran dalam karya kita.

"Namun masalah terjadi sekarang, watak emak dan ayah sudah gemar diberikan atau dilakonkan oleh golongan artis muda yang ada

kala hampir sebaya atau kelihatan seperti adik beradik dengan watak hero mahupun heroin. Ia berlaku atas permintaan stesen televisyen (TV) dan penerbit  yang mahukan watak emak atau ayah dilakonkan oleh mereka yang  lebih bergaya.

"Tetapi hakikatnya artis lama terabai walaupun mereka sangat berkaliber. Persoalannya kenapa harus pinggirkan mereka kerana mereka juga ada peminat mereka sendiri? Seseorang penulis sebenarnya ada pilihan sendiri ketika menghasilkan sesebuah skrip untuk watak-watak sedemikian. Jadi, pihak penerbit dan stesen TV juga harus memainkan peranan dalam soal ini," katanya yang lebih dikenali denga nama pena Mami Zubi.

Mami Zubi berkata, dia menyarankan supaya stesen TV dan sesebuah syarikat produksi melihat serta menilai secara keseluruhan dalam isu pemberian watak emak atau ayah kepada golongan artis lebih muda semata-mata untuk tujuan komersial.

Sebaliknya kata Mami Zubi, mereka haruslah menilai sama ada watak yang dilakonkan itu  benar-benar sesuai untuk mereka pegang atau lebih elok peranan seperti itu dibawakan oleh artis veteran. 

"Saya harap berilah artis veteran  peluang sebagai tanda penghargaan terhadap mereka sekali gus supaya mereka merasa terus dihargai sepanjang terlibat dalam seni.

"Di luar  negara, industri mereka sangat menghargai artis veteran. Jadi mengapa industri di Malaysia kerap kali meminggirkan mereka.

"Penulis skrip bersedia membantu artis veteran kita dalam permasalahan ini," katanya yang merupakan ibu kepada pelakon Fimie Don.