Biarpun mendapat tohmahan premis makanan jalanan di negara ini kotor berikutan pendedahan media arus perdana dan media sosial namun masih ada peniaga menganggapnya cuma persepsi segelintir masyarakat yang terdiri daripada bukan penggemar masakan di warung atau gerai tepi jalan.

Misalnya bagi  peniaga warung yang hanya mahu dikenali sebagai Shamsiah, dia tetap mempertahankan tidak semua warung atau gerai kotor dan menjijikkan tetapi sebaliknya segelintir masyarakat merumuskan bahawa semua warung dan gerai tidak bersih hingga takut terkena keracunan makanan.

Selainnya itu menurutnya, pelanggan tidak perlu bimbang dari aspek penjagaan bahan mentah kerana dia sendiri sebagai peniaga sentiasa menyimpan barangan mentah seperti ayam, daging, ikan dan sayur-sayuran dalam 'ais box' di warungnya bukan dalam tempoh yang lama.

"Biasanya bahan mentah seperti ayam, daging, ikan dan sayuran yang dibeli dari pasar terus digunakan untuk masakan. Tidak simpan terlalu lama.

"Contohnya ayam, saya akan potong dan basuh dengan tepung gandum sebanyak dua atau tiga kali bagi mengelakkan bau hanyir. Begitu juga dengan sayur, saya cuci terlebih dahulu sebelum rendam, bila sudah siap dipotong saya akan bersihkan sayur itu semula," katanya yang sudah 25 tahun mengusahakan warung.

Bagaimanapun dia tidak menafikan tiada mengambil suntikan kepialu seperti ditetapkan Jabatan Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kepada semua pengusaha premis makanan.

Sementara itu, seorang pengusaha warung tomyam, Mashitah Alwi juga berpandangan, orang ramai tidak perlu bimbang dengan kaedah penyimpanan makanan dibuat pengusaha warung.

"Saya guna peti sejuk beku untuk simpan bahan mentah seperti ayam, udang, sotong, ikan dan burung puyuh di bawah suhu -1 hingga -3 bagi supaya bahan tahan lama dan tidak dijangkiti bakteria.

"Saya ikut saranan pihak berkuasa supaya sentiasa jaga kualiti masakan dan kebersihan premis," katanya yang mengambil suntikan imunisasi setiap tiga tahun mengikut Akta Makanan 1983 dan Akta Kawalan Penyakit 1988 di sebuah hospital swasta.