GEMPA yang berlaku di beberapa tempat di Semenanjung seperti Bukit Tinggi, Jerantut,Temerloh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Manjung dikatakan mempunyai kaitan dengan gempa di Acheh, Indonesia pada tahun 2004.

Wartawan Sinar Siasat telah membuat tinjauan di Kampung Bukit Tinggi, Pahang  dan beberapa penduduk berkongsi pengalaman mereka ketika menghadapi insiden tersebut.

Seorang peniaga kedai runcit, Lai Sow Yin memberitahu, peti sejuk di rumahnya bergoyang beberapa kali dalam tempoh beberapa saat akibat gegaran itu.

Menurutnya , kejadian berlaku sekitar jam 12 tengah malam ketika dia baharu saja mahu tidur sebelum melihat pintu bergoyang diikuti  peti sejuk juga bergoyang.

"Waktu itu suami dan anak-anak sudah tidur. Kejadian hanya beberapa saat saja tapi gegaran itu bukan setakat berlaku pada waktu malam tapi ia berulang sekitar sebelah pagi.

"Tak silap saya gegaran berlaku sebanyak tiga kali  termasuk ketika saya sedang memasak. Tapi saya tak takut sebab beranggapan gegaran itu tidak berbahaya. Cuma kalau berulang dan bergegar lebih kuat, pasti saya takut," katanya.

Dia kemudian mendapat maklumat bahawa gegaran  itu berskala lebih 3 skala Richter.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Chan Tak Lan memberitahu dia terdengar bunyi letupan sebelum berlaku gegaran di Kampung Bukit Tinggi.

"Saya tak pasti berapa kali ia meletup sebab saya tidur. Saya cuma dengar macam letupan saja yang berlaku sangat cepat, macam kilat. Bila terbangun dari tidur, saya dapat rasa  rumah saya rasa bergoyang sedikit," katanya.

Menurut peniaga buah berkenaan, kejadian seperti dialaminya itu bukan pertama kali berlaku di kampungnya.

Jika berlaku lagi, katanya, dia berharap gegaran tidak akan menjejaskan perkampungan itu.