SYARIKAT  pengurusan  PPR Kota Damansara,  Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) telah membuat beberapa penambahbaikan selepas  mengambilalih pengurusan PPR berkenaan daripada Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) pada 1 Mei 2013.

Pemangku Pengurus Besar PHSSB, Wan Mohd Fadzli Mohd Yusoff berkata, walaupun ketika seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang terjatuh dari balkoni rumahnya di tingkat 17, Blok A,  PPR itu, pihak pengurusan juga sedang menjalankan kerja-kerja penambahbaikan railing sekitar kediaman berkenaan.

"Sebelum kejadian ini berlaku, memang kita (pengurusan PHSSB) sedang buat penambahbaikan pada railing di koridor hadapan rumah. Kita tambah pada ketebalan dan rapatkan jarak antara railing.

"Waktu kejadian kita sedang buat penambahbaikan di blok C dan D  dan hingga kini ia masih diteruskan. Boleh tengok perbezaan antara yang belum dan yang sudah buat.

"Selepas kejadian itu, kita juga sudah menampal notis peringatan di lif-lif meminta penduduk supaya  tidak membiarkan anak-anak menggunakan lif secara berseorangan," katanya.

Begitu juga ketika kejadian seorang kanak-kanak terjatuh dari tingkat 6 block B, PPR itu pada 28 Januari 2015, pihak PHSSB  sedang membuat kerja-kerja penambahbaikan.

"Bermula tahun 2015 hingga 2016, kita menaiktaraf struktur bangunan yang dibuat secara agresif dengan menumpukan aspek keselamatan.

"Kita tambah jarak railing di koridor yang mana sebelum ini jarak railing dalam empat inci dan kita rapatkan jarak kepada dua inci," katanya.

Menurutnya, pihak pengurusan sememangnya mengambil perhatian tentang keselamatan di PPR tersebut dan sudah membuat usaha terbaik untuk penghuni PPR Kota Damansara.

"Kita juga beri perhatian terhadap kemudahan lif dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di  dalam dan luar lif pada setiap level kediaman.

"Kita juga buat pagar 'boom gate' untuk keselamatan penghuni. Program gotong royong bersama penduduk  di sekitar kediaman turut  diadakan termasuk pada bahagian tangga  supaya tidak ada penghuni meletakkan sampah yang memungkinkan boleh dipanjat oleh kanak-kanak," jelasnya.

Selain itu  Wan Mohd Fadzli berkata, penambahbaikan pada pintu bahagian balkoni setiap kediaman penduduk akan dilaksanakan dengan memasang peralatan pada pintu yang tidak boleh dibuka oleh kanak-kanak.