PERSATUAN  Geologi Malaysia  tidak mahu netizen gelisah dan terus mempercayai viral bahawa Malaysia berkemungkinan dilanda gempa bumi serta  tsunami dahsyat gara-gara bencana itu kerap melanda Indonesia.

Presidennya Abd Rasid Jaapr berkata, rakyat Malaysia  berusia 30 tahun  dan ke atas dilihat begitu mudah terpengaruh kerana kekurangan ilmu mengenai bencana tersebut.

"Kita lihat generasi muda lebih mampu memahami mengenai situasi bencana alam itu.  Sebaliknya netizen berusia dalam lingkungan 30 tahun dan ke atas yang dikesan ramai  terjebak isu  viral berkaitan gempa bumi ini," katanya.

Menurutnya, sejajar 50 tahun penubuhan persatuan itu, pihaknya sedang dalam perancangan membudayakan bidang geologi kepada masyarakat.

"Kita sedang dalam perancangan mengadakan aktiviti yang boleh merapatkan persatuan kepada masyarakat, pelajar sekolah termasuk guru-guru di institut perguruan bagi membantu memantapkan kemahiran para guru mengajar. 

"Subjek mengandungi elemen geologi seperti teori hanyutan benua dan sesaran sudah ada diajar di sekolah. Jadi adalah menjadi keperluan supaya  para guru lebih berkemahiran dalam  bidang geologi, " katanya.

Menurutnya, persatuan berkenaan menjurus ke arah akademik dalam usaha penambahbaikan penyebaran ilmu geologi kepada masyarakat di negara ini.

Katanya bidang geologi sudah diiktiraf sebagai antara bidang profesional sama taraf seperti jurutera dan doktor, justeru adalah penting untuk menambah ilmu kepada masyarakat dalam bidang berkenaan.