BIARPUN warung atau gerai tepi jalan di negara ini sering ditemukan kotor dan menjijikkan namun masih terdapat segelintir dalam kalangan masyarakat kita tetap memilih menjamu selera di premis tersebut.

Orang ramai berpandangan, tidak adil jika masyarakat melabelkan rata-rata gerai atau warung di negara ini kotor kerana masih ada peniaga warung yang menjaga kebersihan dan menjamu selera di warung lebih jimat berbanding restoran lain.

Misalnya bagi  Wan Mohd Ilyas Amin Wan Ismail, 23, dia  gemar menjamu selera di

warung atas faktor harga makanan yang murah serta lokasi sesebuah warung yang mudah untuk diakses selain memiliki parkir kenderaan.

"Saya biasanya makan di warung atau gerai di tepi jalan yang berdekatan dengan tempat kerja saya.

"Selain faktor jimat kerana harga makanan murah, saya memang pergi warung untuk menjimatkan masa," katanya yang bekerja di sebuah kilang.

Tidak semua orang juga bersikap mudah geli atau merasa jijik untuk menjamu selera di luar rumah seperti dialami seorang lelaki apabila dia tetap mengunjungi warung biarpun pernah terkejut kerana menerima hidangan mi goreng mengandungi anak lipas.

Mustadza Mardzzi Mustafa, 38, berkata, dia masih percaya dengan tahap kebersihan diamalkan oleh pengusaha warung di negara ini, bukanlah boleh sampai memudaratkan kesihatan yang teruk.

"Saya memang utamakan soal kebersihan dan keselamatan apabila makan di warung.

"Kebersihan bukan hanya dilihat pada persekitaran dan lokasi warung tetapi peralatan digunakan. Kalau pinggan dan cawan digunakan kelihatan melekit (minyak) dan ada kesan hitam (daki), itu tandanya pemilik warung tidak jaga kebersihan. Saya juga tengok kalau ada tikus atau lipas berkeliaran dalam warung itu," katanya.

Sementara itu, seorang pengurus di sebuah kilang Syamin Edrus, 29, pula berkata, dia memilih makan di warung atau gerai kerana faktor masakan biasanya sedap dengan harga berpatutan.

"Saya lihat tidak semua warung atau gerai kotor. Kita tak boleh kata 100 peratus persekitaran dan makanan yang dijual di warung atau gerai dan boleh menyebabkan wabak penyakit.

"Setakat ini, saya tidak pernah mengalami keracunan makanan yang menjejaskan kesihatan saya akibat makan di warung di tepi jalan," katanya.