ADAKAH permasalahan kilang mengitar semula pelbagai barangan plastik di Kuala Langat sudah diselesaikan sepenuhnya?
Selangor dijadikan tempat melonggok sampah plastik dari negara luar namun kerajaan negeri telah mengambil langkah drastik dengan menyita serta menutup beberapa kilang beroperasi secara haram mengitar semula pelbagai sampah plastik di Kuala Langat.
Benarkah masalah itu sudah diselesaikan secara tuntas? Berdasarkan tinjauan ke lokasi terdapat beberapa kilang telah disita serta ditamatkan operasi. Kawasan kilang didapati sudah sunyi.
Namun adakah situasi itu menunjukkan masalah sudah selesai sepenuhnya? Bagaimana dengan kewujudan timbunan sampah plastik di persisiran Sungai Langat di Pulau Carey?
Hasil tinjauan mendapati, timbunan itu adalah longgokan sampah plastik dari negara luar antaranya China, New Zealand, Amerika, United Kingdom dan Switzerland. Antaranya sampah yang tidak mudah terurai dalam tempoh singkat.
Sewaktu kami berada di lokasi itu, tiada seorang pun berada di sana. Sampah itu terbiar di tepi sungai.
Menurut penduduk berhampiran, lokasi di tepi sungai dijadikan tapak pembuangan sampah plastik sejak beberapa bulan lalu.
"Ada pihak buang sampah di tepi sungai ini tidak kira sampah basah, sampah kering, pelbagai barangan plastik, kaca dan macam-macam lagi," kata penduduk yang enggan namanya didedahkan.
Dia mendakwa, sampah plastik itu dibuang daripada lori-lori yang kemudian dilihat tergesa-gesa meninggalkan lokasi berkenaan.
Penduduk itu juga berkata, ada pihak yang kemudiannya melakukan pembakaran sampah di lokasi itu pada waktu malam.
"Kami sudah buat aduan kepada pihak berkuasa tetapi setakat ini tiada kelihatan tindakan yang jelas sudah diambil. Kami minta pihak berkuasa segera buat pemantauan dan turun pandang meninjau kes ini pada waktu malam serta cuti umum.
"Sekarang musim hujan, kami risau longgokan sampah ini mendatangkan masalah pencemaran," katanya.
Berdasarkan kata-katanya, Wartawan Sinar Siasat memang menemukan sebahagian timbunan sampah plastik itu sudah ada yang dibakar.
Persoalannya, mengapa timbunan sampah jenis plastik itu dibiarkan di tepi sungai? Tiada benteng pemisah antara longgokan sampah itu dengan tebing sungai. Ibarat sekali sepak sahaja, timbunan sampah itu boleh bergolek ke dalam sungai. Bagaimana jika hujan?
Bukan satu kesalahan apabila persoalan itu dilontarkan oleh penduduk kerana sebelum ini dilaporkan hampir 300,000 penduduk di Kuala Langat terdedah risiko pelbagai jenis penyakit termasuk kanser apabila daerah tersebut dijadikan tempat longgokan plastik kitar semula dari serata dunia yang mana sisa-sisa cecair proses kitar semula plastik didakwa dilepaskan ke longkang dan anak sungai.
Bayangkan hasil kaji selidik NGO Greenpeace Malaysia mendedahkan, sejumlah besar sisa plastik diimport telah dibuang di bangunan terbengkalai atau dibiarkan membusuk di tempat terbuka dan ini bertepatan dengan penemuan Wartawan Sinar Siasat di sebuah lokasi di Pulau Carey.
Mengulas perkara itu, seorang aktivis dan wakil penduduk Jenjarom Kuala Langat, Pua Lay Peng juga melahirkan kerisauan memandangkan campuran plastik sampah dan plastik import yang tidak boleh dikitar semula boleh menyebabkan pencemaran teruk apatah lagi ia bertimbun di tepi sungai.
"Saya percaya sekurang-kurangnya terdapat 10 peratus sampah plastik yang tidak dapat dikitar semula. Misalnya sisa palet plastik, tidak boleh dikitar semula. Sampah itu perlu dibakar.
"Ia mengakibatkan pencemaran udara dan air yang boleh menyebabkan penyakit bahaya seperti kanser dan sakit paru-paru," katanya.
Terdahulu, dia mendakwa sekurang-kurangnya antara 80 dan 90 peratus kilang kitar semula plastik di Selangor beroperasi secara haram.
Sebelum ini, portal berita luar negara, RadioNZ dalam satu laporan mendedahkan bahawa ribuan tan sisa plastik dari New Zealand dikatakan dibawa masuk ke negara ini selepas China mengharamkan import sisa plastik.
Laporan itu menyebut hampir 40 kilang haram yang beroperasi di Jenjarom, Kuala Langat, membakar dan membuang air tercemar selepas mencuci sisa plastik sampah itu.
Persoalan yang timbul kenapa negara kita dijadikan lokasi pusat untuk menempatkan sampah ini sedangkan negara lain mengharamkan ia masuk ke negara mereka?