PERBUATAN khianat pemilik sampah haram plastik import memproses sampah berkenaan di sekitar Kuala Langat  dengan kaedah membakar sampah berkenaan mampu memberi kesan kepada kesihatan penduduk setempat dan alam sekitar.

 Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, bahan plastik yang mempunyai elemen hidrokarbon apabila dibakar akan memberi kesan kepada kesi­hatan penduduk.

Menurutnya, dalam jangka masa pendek, penduduk yang mempunyai alahan kulit atau masalah penafasan pasti akan mendapat kesan terus susulan pembakaran terbuka ini.

 “Dalam jangka masa panjang, jika pembakaran terbuka plastik import ini diteruskan dan penduduk terdedah kepada pencemaran udara dalam tempoh yang lama, mereka berisiko untuk menghidap sakit kanser.

 “Tiada kajian khusus yang dibuat untuk kesan pembakaran plastik import ini tapi ada yang kata dalam tempoh lima ke 10 tahun, penduduk mempunyai risiko terkena kanser,” katanya kepada Wartawan Sinar Siasat.

Ia susulan penduduk di Kuala Langat mendakwa kesihatan mereka terjejas akibat aktiviti pembakaran sampah plastik dari kilang yang bero­perasi dalam daerah berkenaan.

Zainal berkata, sejauh mana kesan pembakaran terbuka aktiviti kitar semula plastik berkenaan adalah bergantung kepada kepadatan penduduk dan juga arah angin.

Menurutnya, dianggarkan kesan penyebarannya boleh mencapai sejauh lima kilometer daripada lokasi pembakaran berkenaan.

“Kalau di negara maju luar negara, mereka tidak benarkan lagi membuat pembakaran terbuka lebih-lebih lagi bagi industri yang menyumbang kepada pencemaran alam sekitar seperti ini walaupun menguntungkan.

“Oleh itu, kita di pihak persatuan berharap agar masalah ini tidak berulang lagi bukan hanya di Kuala Langat bahkan di lokasi-lokasi lain di negara ini,” tegasnya.

Namun menurutnya, apa yang dibimbanginya kini ialah apabila ada pihak melupuskan plastik sampah berkenaan dengan kaedah tidak betul.

 “Kalau ada yang bakar di tempat-tempat yang jauh dari orang ramai, tempat-tempat tersorok atau buang di tepi-tepi sungai, ini tentu sahaja akan beri kesan kepada pencemaran alam sekitar yang akan turut dirasai penduduk.

“Kita harap agar penguatkuasaan dipertingkatkan dan orang awam juga dapat terus menyalurkan maklumat kepada agensi berkaitan untuk memastikan aktiviti ini dapat diatasi,” katanya.