PERSOALAN sama ada Malaysia terdedah risiko gempa bumi dahsyat atau tidak, sekumpulan saintis geologi merumuskan gempa bumi di Semenanjung Malaysia bermagnitud rendah atau lemah sementara di Sabah bermagnitud sederhana, hanya kawasan di Lingkaran  Api Pasifik boleh bermagnitud besar dan sangat besar.  

Felo Akademi Sains Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo berkata,  Sabah dan Sarawak mempunyai rekod gempa bermagnitud sederhana sekitar 5.0 - 5.9  iaitu di  Tawau dengan  Lahad Datu diikuti Ranau adalah paling tinggi dalam sejarah 100 tahun gempa bermagnitud sederhana di negara ini.

"Maknanya memang  wujud sesar menyebabkan pergerakan. Di Lahad Datu dan Semporna  terdapat  satu sesar dari Filipina  panjang dan ekornya di bahagian itu, jadi kemungkinan sebahagian besar gempa berlaku  berkaitan sesar itu.

"Jadi kita boleh jangkakan dari semasa ke semasa gempa bumi sama ada sederhana atau besar  boleh berlaku di Tawau dan Semporna akibat pengaruh zon sesar aktif dari Filipina," katanya.  

Menjelaskan berkaitan Gunung Kinabalu Prof Ibrahim berkata, jika berlaku gempa bumi di Gunung Kinabalu, ia  mempunyai impak tersendiri yang mungkin Menyebabkan runtuhan kerana sesar di bawah gunung  Kinabalu bergerak aktif.

Runtuhan

"Banyak kajian dan dapatan melaporkan  proses pengangkatan di gunung itu berlaku aktif kerana  ada tekanan dari bawah menyebabkannya terangkat serta Gunung Kinabalu  itu sendiri terdiri daripada batuan sangat  keras serta  tinggi, maka apabila berlaku gegaran boleh memberikan impak tersendiri atau mungkin sahaja berlalu runtuhan.

"Kajian saintis mentafsirkan beberapa sesar aktif itu boleh menjadi punca  gempa bumi. Selain itu ada juga pengkaji mengatakan jika gempa bumi besar berlaku di Filipina pula, Sabah boleh terkena tsunami (Sarawak tidak)," katanya yang juga Ahli Lembaga Persatuan Geologi Malaysia.

Tambah pakar berkenaan, pandangan itu bukan untuk mencetuskan kerisauan masyarakat terutama penduduk Sabah namun ini hakikat mesti dihadapi semua pihak terutama kerajaan yang  perlu memberi tumpuan ke atas negeri bawah bayu tersebut  untuk  mengurangkan impak bencana akibat gempa bumi sekali gus menghindar kematian jika  bila-bila masa berlaku gempa bumi di pergunungan popular itu.  

Mengenai kegelisahan masyarakat  gara-gara viral di media sosial mengatakan Semenanjung Malaysia terdedah risiko gempa bumi akibat gempa bumi bermagnitud 7.5 melanda Sulawesi Tengah, pada 28 September lalu, Prof Ibrahim menjelaskan rakyat perlu membezakan antara gempa bumi dan bencana akibat gempa bumi.

"Ya gempa bumi pun berlaku di Semenanjang  Malaysia kerana ada rekod sebelum ini tetapi  di Semenanjung Malaysia  gempa  bumi cuma bermagnitud rendah atu lemah iaitu kurang dari 4 Skala Richter yang biasanya kita hanya dapat secara gegaran.

Bimbang

"Misalnya bila gempa bumi di Acheh, Bali, Nusa Tenggara dan terbaharu di Lombok serta Sulawesi, jaraknya  jauh dengan kita. Jarang gempa bumi jauhnya antara 400 hingga 500 kilometer mengakibatkan bencana.  Cuma ketika gempa bumi di Acheh pada 2004, memang berlaku gegaran di Malaysia tetapi gegaran itu tidak cukup walau  untuk memecahkan cermin bangunan, ' jelas beliau.

Menurutnya masyarakat bimbang tidak tentu pasal kononnya titik gempa mulai menghampiri Malaysia sedangkan maksud titik gempa itu adalah merujuk kepada  'epicenter' di tanah di mana gempa itu berlaku sama ada di permukaan atau beberapa kilometer mahupun  ratusan kilometer di bawah permukaan tanah.

"Sebahagian besar sesar di Semenanjung Malaysia sebelum ini ada menghasilkan gempa tapi  berjuta tahun lampau, sekarang tidak bergerak tetapi bila berlaku patahan  besar sewaktu tsunami  di Acheh dengan kepanjangan lebih 1,000 kilometer dari Sumatera ke Pulau Nakoba menyebabkan anjakan sebahagian besar plat Sunda termasuk Semenanjung Malaysia teranjak ke timur beberapa meter serta ada pengukuran dibuat di Terengganu dan Kota Bharu yang menunjukkan patahan akibat bencana di Acheh dulu menyebabkan Semenanjung Malaysia teranjak.

"Bila  teranjak dan tertekan dari semasa ke semasa ia akan membebaskan tenaga maka  berlaku gempa pada satah lemah tidak kira sesar lama atau sesar baharu. Sebenarnya sesar di Semenanjung Malaysia tak aktif  tetapi bila  teranjak, ia mengalami pengatifan semula  yang biasanya menghasilkan gempa bermagnitud rendah atau lemah sahaja. Ini sudah pasti berbeza dengan tekanan berlaku antara sempadan keping (plat)  Pulau Sumatera dan keping Lautan India yang bergerak beberapa sentimeter setahun, seperti kuku kita memanjang, bayangkan tenaga yang terkumpul beratus tahun lalu berlaku patahan, maka menghasilkan gempa kuat seperti berlaku di Sumatera dan Pulau Jawa," jelas Ibrahim.

Beliau tidak mahu rakyat di Malaysia risau tanpa usul periksa  kerana berdasarkan rekod tidak pernah berlaku gempa kuat melebihi magnitud 4 Skala Richter di Semenanjung Malaysia melainkan di Sabah. 

Bencana

"Masalahnya sekarang ini masyarakat mendapat maklumat (viral) dengan menyamakan bencana dan keadaan di Sulawesi macam berlaku di belakang rumah sendiri. Mengambil contoh tsunami di Acheh pada 2004  yang mana air laut tinggi sampai 30 meter dan masuk sejauh tujuh hingga lapan  kilometer sedangkan di Pulau Pinang dan Langkawi tinggi air laut hanya  sekitar dua dan tiga  meter,  masuk cuma sejauh 50 meter. Maknanya sesiapa yang berada  100 meter dari pantai boleh terselamat tsunami  tetapi orang kita bayangkan tsunami  kena di Malaysia seperti di Acheh dan Sulawesi. 

"Tsunami di Acheh adalah tsunami global yang mana bencana itu bergerak ke seluruh dunia termasuk pantai barat Malaysia hingga ke Johor, Melaka dan Selangor. Saintis  buat kajian memetakan jarak dan tinggi paras air. Didapati negara kita cuma terkena ekor tsunami. Kita juga bernasib baik kerana jarak  Malaysia dengan pulau Phuket, Thailand  lebih kurang sama dengan punca tsunami tetapi Phuket kena lebih teruk kerana laut dalamnya sampai ke tepi pantai Phuket tetapi laut dalam kita (lebih 1,000 meter) berada lebih kurang 1,000 kilometer di luar pantai Malaysia.  Jadi ketika tsunami bergerak ke laut cetek, tenaga itu sudah lemah 90 peratus. Selain tiada gegaran, tsunami pun diperisai oleh keadaan geografi menyebabkan negara kita hanya terkena ekor tsunami," ujarnya.

Katanya, sebelum 2004, semua orang leka tetapi kemudian terkejut apabila berlaku gempa bumi di Acheh pada tahun itu dan tambah terkejut apabila  berlaku pula gempa bumi di Lombok dan Palu.  

"Masalahnya rakyat Malaysia terigau-igau kejadian di tempat orang," ujar beliau.