BERAT mata memandang berat lagi bahu memikul. Namun takdir Tuhan telah tertulis seorang ibu akan kehilangan anaknya dalam keadaan tragis dan kenangan pahit itu bersemadi dalam hati yang meruntun air mata apabila dikenang.

Itulah perasaan Nor Sahura Sahara Muhammad, selepas anaknya Muhammad Zul Hazriq Danish, 5 maut akibat terjatuhmelalui jurang di antara pagar besi yang sudah rosak ketika sedang bermain bersama abangnya di koridor tingkat enam, Blok B, PPR Seksyen 8, Kota

Damansara pada 28 Januari 2015.

Selepas tiga tahun malapetaka itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun pula terbunuh selepas terjatuh dari balkoni rumahnya di tingkat 17, Blok A, PPR yang sama dalam kejadian pada kira-kira jam 7 pagi, 13 September lalu.

"Kenapa ada lagi kejadian seperti ini (budak jatuh bangunan PPR). Saya ingat malang menimpa anak saya dulu adalah terakhir.

"Pada hari kejadian 13 September itu, selepas diberitahu oleh seorang rakan ada kejadian budak jatuh, lutut saya menggigil, saya terus menangis. Berkali- kali saya mempersoalkan mengapa ada lagi kejadian menyedihkan seperti ini," luah Nor Sahura Sahara.

Jelas dari tutur katanya yang tidak lancar, wanita tersebut sebak kerana kejadian terbaharu itu mengingatkannya kepada kecelakaan menimpa anaknya dulu.

Dia yang pernah bekerja sebagai pembantu peribadi mengatakan, kecelakaan menimpa anaknya dan mangsa terbaharu itu sememangnya takdir dan sudah tiba ajal mangsa namun cara kematian itu seperti tidak boleh diterima kerana ia sangat meruntun jiwa.

"Saya tidak ikut orang lain melihat tempat kejadian. Saya tidak mahu kerana kalau saya pergi saya tak boleh bayangkan perasaan saya ketika itu.

"Seorang kanak-kanak tidak tahu apa-apa telah terjatuh (bangunan tinggi). Saya tak boleh

gambarkan betapa seksanya dia. Bayangkan kalau anak saya jatuh dari tingkat enam, mangsa ini pula terjatuh dari tingkat 17," kali ini Nor Sahura Sahara tidak mampu lagi menahan air matanya.

Sambil menyapu air jernih itu, Nor Sahura Sahara meneruskan bicara menceritakan betapa perasaannya sedih dan kecewa kerana tragedi di tingkat 17 itu adalah ulangan kepada malapetaka menimpa Muhammad Zul Hazriq.

Menyorot kembali kejadian pada 28 Januari 2015 itu, Nor Sahura Sahara baru selesai mencuci pinggan yang digunakan anaknya ketika makan tengah hari sewaktu seorang lagi anak lelakinya yang berusia tujuh tahun meluru masuk ke dalam rumah, memberitahu adiknya telah jatuh.

"Abang dia bagi tahu adik jatuh, tapi mulanya saya tak terfikir dia jatuh ke bawah (bangunan).

"Saya kata angkat balik adik tu. Tetapi pada saat abang dia kata, adik dia jatuh ke bawah, saya terus longlai," katanya sebak.

Bukan alang-alang penderitaan dan kesedihan Nor Sahura Sahara apabila kejadian menimpa anak bongsunya itu cuma selang setahun dia dan anak-anaknya bersedih selepas kematian suaminya akibat kemalangan.

"Apa yang tambah menyedihkan untuk dikenang adalah tingkah laku arwah sebelum kejadian itu. Dia selalu minta telefon bimbit saya untuk lihat gambar arwah bapanya sambil bertanya sama ada saya sayang dia atau tidak.

"Setiap hari tidak kira siang atau malam, dia akan bertanya soalan itu," Nor Sahura Sahara terus menangis.

Dia dan anak-anaknya mendiami PPR tersebut sejak 2006. Tetapi selepas tragedi menimpa Muhammad Zul Hazriq, wanita itu trauma dan mengambil masa hampir setahun untuk memulihkan diri.

"Selama setahun saya tidak boleh keluar rumah. Tidak mahu berjumpa orang lain. Apabila tengok gambar arwah anak, saya menangis. Hanya selepas setahun, saya mulai reda walaupun kematian dia saya masih tak boleh terima.

"Tetapi saya pulihkan semangat dengan menyibukkan diri dalam aktiviti bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa persatuan. Apabila teringat peristiwa itu semua, memang sedih. Namun kini saya terima bahawa arwah anak saya hanya pinjaman di atas dunia ini. Kepada keluarga mangsa terbaru itu, sabarlah. Mereka sudah pasti menjadi anak syurga," kata Nor Sahura Sahara.

Dia menasihatkan semua ibu bapa supaya menjaga dan sentiasa waspada terhadap keselamatan anak-anak terutama berhampiran railing besi koridor.

Dalam pada itu, wanita berkenaan juga menegur sikap segelintir sikap penduduk di PPR berkenaan yang gemar membuang sampah dari tingkat atas rumah.

"Tolonglah... kita sudah diselubungi kesedihan dengan tragedi kanak-kanak jatuh. Janganlah pula berlaku tragedi lain yang berpunca akibat perbuatan penduduk sendiri yang gemar membuang sampah termasuk sampah berbahaya dari atas bangunan. Ia membahayakan keselamatan nyawa orang lain.

"Cukup-cukuplah kita bersedih," ujarnya.

Pada masa sama dia berharap supaya pihak pengurusan sentiasa mengambil berat aspek keselamatan di PPR tersebut.