SHAH ALAM - Nampaknya ada pihak sengaja menangguk di air keruh berikutan konflik antara pengendali Kolej Vokasional (KV)  swasta,  Admal Aviation College dan Kementerian (KPM) dengan melemparkan persepsi negatif terhadap keseluruhan pelaksanaan bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini.

Ketua Pegawai Operasi Admal Aviation College Azizulhisham Che Hashim berkata, amat mengecewakan apabila polemik yang terjadi itu sengaja dipolitikkan oleh sesetengah pihak hingga menyebabkan pihak kolej dan KPM diasak secara berterusan berhubung isu sebenar sedangkan ia hanya berkaitan permasalahan teknikal dalam proses pengambilahan terus program KV tersebut daripada  pengendali sebelum ini yang  menamatkan operasi secara mengejut. 

"KPM dan pihak kami telah bekerjasama dalam menangani isu pemberhentian mengejut program dan pelajar oleh pengendali asal demi masa pelajar-pelajar KV ini.

"Namun sememangnya kos pengurusan pelajar dan pengoperasian program KV oleh pengendali swasta seperti kami memerlukan sumber kewangan besar di samping kos pengoperasian program-program lain yang juga dikendalikan  kolej kami.

"Justeru, sebarang kelewatan bayaran semestinya akan menjejaskan pengurusan dan pengoperasian program KV ini oleh pengurusan kolej.  Pihak kolej memahami masalah dalaman berkaitan proses penyediaan pembayaran dan kelewatan pengeluaran kontrak yang disebabkan daripada proses pengambilalihan terus program KV ini dalam masa yang singkat daripada pengendali asal," jelasnya.

Penjelasan itu berhubung laporan media sebelum ini mengenai seramai 197 pelajar mengikuti program vokasional (Diploma in Aviation, Ground Handling-Ramp Services) di Admal Aviation College terpaksa dilanjutkan cuti persekolahan gara-gara masalah pembayaran daripada KPM.

Pada masa sama Azizulhisham berkata, pihak kolej juga ingin menjelaskan program Diploma in Technology Ground Handling (DTGO) tersebut telah mendapat sokongan memberangsangkan daripada  industri penerbangan apabila beberapa syarikat  bersetuju menyediakan pekerjaaan tetap kepada pelajar-pelajar bakal lulusan program DTGO yang masih menjalani  ‘On Job Training (OJT)’ di syarikat berkenaan.

"Sekumpulan 20 daripada 48 pelajar yang menjalani kursus OJT tahun akhir program ini telah diserap sebagai pekerja sepenuh masa oleh syarikat tersebut. Ia di luar jangkaan KPM dan juga pihak kami sendiri," katanya.

Dengan perkembangan itu, matlamat KPM untuk menarik minat industri terhadap lulusan pelajar KV DTGO ini berjaya dicapai.

Dalam pada itu Azizulhisham berkata, penambahbaikan untuk memperkasakan  program KV perlu diadakan berhubung aspek pengurusan, pengoperasian dan pengendalian program antara pihak KPM dan pihak pengendali swasta, termasuk Admal Aviation College sejajar dengan usaha untuk memartabatkan bidang TVET ke arah keperluan industri 4.0.

Menyentuh berkaitan penangguhan pembelajaran pelajar-pelajar KV di kolejnya baru-baru ini, Azizulhisham berkata, perkara itu diambil kesempatan oleh beberapa pihak tertentu melalui komen-komen berkaitan isu berkenaan yang bersifat peribadi, kurang matang serta tidak memahami arah tuju sebenar program KV


"Pihak kami berasa amat kecewa terhadap beberapa individu berkenaan yang mengambil kesempatan untuk mempolitikkan isu ini tanpa memahami isu yang sebenar.

"Ingin ditegaskan di sini, pihak kami tak pernah melantik sesiapa untuk menjadi juru cakap kami. Apa yang terjadi hanyalah isu antara Admal Aviation College dan KPM. Ia tidak melibatkan  apa apa dasar mahu pun polisi (kerajaan)," tegasnya.