SEORANG penghuni di PPR Seksyen 8 Kota Damansara menceritakan pengalamannya yang terpaksa meninggalkan anak-anak di rumahya ketika dia dan suami keluar bekerja kerana tidak mampu mengupah pengasuh.

Norlila Omar, 48, berkata,  ketika anak-anaknya masih kecil dulu dia sentiasa meminta jiran-jiranya membantu memerhatikan tingkah laku anak-anaknya jika dia dan suami tiada di rumah.

"Saya pesan dengan jiran sebelah untuk tengok anak-anak saya walaupun anak-anak yang  lebih berusia ada di rumah. Saya minta jiran pantau kalau anak kecil saya jika  menangis," katanya yang menyewa dengan sewa bulanan RM124.

Menurutnya, sebagai ibu pastinya ada rasa bimbang dalam hati apabila terpaksa meninggalkan anak-anak bersendirian di rumah namun apakan daya, dia mesti membantu suami mencari rezeki.

Selain keluar bekerja, dia juga mengakui dulunya terpaksa meninggalkan anak-anak yang masih kecil di rumah kerana  menghantar anak-anak yang lain ke sekolah.

"Saya kena hantar mereka ke sekolah kerana  suami keluar bekerja pada awal pagi dan balik lewat malam.

"Kadang-kadang mereka suka main depan rumah, saya pesan dengan jiran supaya memarahi anak saya jika mereka bermain apa-apa atau panjat pagar (di koridor)," katanya yang kini berniaga nasi dan lauk berhampiran PPR berkenaan.

Memandangkan ada kejadian kanak-kanak jatuh di kawasan PPR itu baru-baru ini, Norlila memberitahu, dia meletakkan almari dan pelbagai peralatan lain supaya  anak-anak tidak mampu memanjat keluar untuk bermain di balkoni.

Sementara itu, seorang ibu tunggal, Hawa Hashim, 50, pula  berkata,  dia memasang railing di balkoni rumahnya dengan membuat bayaran secara ansuran kepada persatuan penduduk.

"Biarpun tiada kerja tetap tapi  saya tetap kumpul duit hasil bekerja dari rumah untuk memasang peralatan tersebut," katanya.