Dalam usaha memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), Majlis Belia Malaysia (MBM) meminta kerajaan PH memperhalusi masalah atau kekangan dihadapi sesebuah institusi hingga ke akar umbi.

Ketua Sekretariat 1Belia 1Kemahiran Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohammad Rizan Hassan berkata, konflik antara Kementerian Pendidikan dan Admal Aviation College  di Sepang misalnya, perlu diberi perhatian serius atau dalam erti kata lain kerajaan membuka mata bagi mencari penyelesaian terbaik.

"Saya perhatikan  mungkin ada empat perkara di sini yang seharusnya kerajaan buka mata terhadap permasalahan TVET.

"Isu tidak menerima bayaran bukan sahaja berlaku kepada satu-satu kolej sahaja tetapi juga berlaku di semua kolej swasta yang lain.

"Dalam isu Admal Aviation College ini misalnya, saya berpandangan keadaan telah mendesak hingga pihak kolej tiada pilihan selain merehatkan pelajar. Kerajaan perlu buka mata isu ini," katanya.

 Beliau yang juga Ketua Penerangan MBM berkata, umum mengetahui banyak kolej gulung  tikar atau terpaksa menutup operasi tetapi ada kolej yang meneruskan komitmen mereka  walaupun pada hakikatnya tenaga pengajar tidak dibayar.

Kedua dalam isu kolej berkaitan pesawat itu Mohammad Rizan berkata, ia mencerminkan  permasalahan  urus tadbir yang dilihat tidak memberi  manfaat kepada sistem TVET itu sendiri.

"Inilah terjadi dalam dunia TVET. Hakikat pelaksanaan TVET  tidak seindah digembar-gemburkan. Pada masa sama kita tidak faham, mengapa masih ada kursus TVET tidak diluluskan oleh kerajaan.

"Dengan apa berlaku selama ini, TVET dilihat sebagai kelas kedua yang berpunca daripada sistem kerajaan itu sendiri sedangkan ibu bapa begitu menaruh harapan tinggi terhadap pendidikan TVET," katanya.

Tidak keterlaluan Mohammad Rizan berkata, terdapat kecelaruan mengenai TVET,  apabila  tujuh kementerian menawarkan program TVET iaitu Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Kerja Raya serta Kementerian Pertahanan yang berbeza sasaran dan hala tuju.

"Kerana inilah MBM dan rakan-rakan seperjuangan lain mahu agar sistem TVET  diperkasakan. Kerajaan mesti lihat kekalutan dalam isu TVET ini hingga ke peringkat bawah.