ISU tukang jahit warga Bangladesh di pekan Sungai Besi yang sewenang-wenangnya menerima tempahan dan menjahit pakaian seragam pihak berkuasa dan pasukan keselamatan  perlu diperhalusi  kerana dikhuatiri ia boleh menggugat keselamatan negara.

Pakar Undang-Undang Universiti Malaysia Kelantan, Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek  berkata, dua perkara perlu dilihat iaitu yang pertama pemeriksaan harus dilakukan terhadap golongan peniaga tempatan yang dipercayai menyewakan premis mereka kepada warga asing untuk mengendalikan kedai jahit.

"Peranan memeriksa lesen ini adalah tanggungjawab Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Perlu dipastikan tidak ada ketirisan dalam isu pemberian lesen kepada peniaga tempatan yang kemudian memberi sewa kepada warga asing. Sangat penting meninjau sekiranya berlaku elemen rasuah.

"Bukan sembarangan tukang jahit  boleh diberi kebenaran untuk menjahit pakaian seragam pasukan keselamatan negara. Walaupun nampak seperti isu kecil tetapi perlu diingat, aktiviti itu  berkaitan rahsia negara.

"Tukang jahit warga Bangladesh  itu warga asing yang pastinya tidak bertauliah untuk menjaga rahsia negara. Misalnya jenis kain, bentuk seragam, saiz dan sebagainya. Adakah mereka boleh menyimpan rahsia itu," katanya.

 Mengulas lanjut, selain menerima tempahan dan menjahit seragam itu secara berleluasa, pakaian itu pula hanya digantung dan dipamer di hadapan premis rata-rata tukang jahit secara umum.

"Tindakan ini membuka ruang kepada siapa juga menyentuh atau mendapatkan baju itu untuk ditiru dengan mudah. Secara langsung ini membuka jalan kepada penjenayah untuk menyamar sebagai penjawat awam dan pihak berkuasa di Malaysia, ' kata beliau. 

Beliau mengingatkan bahawa Akta Rahsia rasmi 1972 (Akta 88) Seksyen 9 telah pun mengatakan bahawa 'menggunakan atau memakai, tanpa kuasa yang sah, apa-apa pakaian seragam tentera laut, tentera darat, tentera udara, polis atau apa-apa pakaian seragam rasmi yang lain atau apa-apa seragam  yang hampir  serupa dengannya hingga mungkin memperdayakan, atau dengan palsu mengemukakan dirinya sebagai seorang yang berhak atau telah berhak menggunakan atau memakai mana mana pakaian seragam itu; maka dia adalah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum dengan denda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.

Selain pembekal perlu seseorang yang bertauliah, begitu juga tukang jahit perlu seseorang yang ditauliahkan boleh menjaga kerahsiaan kerana pakaian, seluar, kasut termasuk  stoking  adalah rahsia.

"Kalau seragam itu boleh dibuat oleh sesiapa saja, ia mungkin dijual kepada penjenayah.  Jadi perlu kenal pasti kedai jahit itu bertauliah untuk menjahit seragam pihak berkuasa, polis dan tentera untuk keselamatan negara.

"Kita tidak mahu nanti dalam jangka panjang wujud pasaran menjual seragam pihak berkuasa apabila kes yang dianggap kecil ini tidak dibendung dari awal.  Kita tidak mahu pakaian seragam disalah guna dan  kebocoran maklumat berlaku apabila tukang jahit tidak bertauliah itu tidak patuh peraturan.  Nampak macam mudah tetapi isu kecil seperi ini jika tidak dibendung, boleh menggugat keselamatan negara.

 Dalam pada itu katanya, pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN)  patut mengambil serius  hal ini memandangkan ianya berlawanan dengan Akta Rahsia Rasmi negara.