BIMBANG jika ada  penghuni di PPR Kota Damansara tidak mampu membayar upah pengasuh lalu terpaksa meninggalkan anak mereka sendirian di rumah,  bekas Penyelaras Dun Kota Damansara, Mohd Radzlan Jalaludin menggesa kerajaan supaya segera mewujudkan pusat jagaan di sekitar kediaman tersebut.

Kata Mohd Radzlan,  cadangan itu bagi mengelakkan sebarang kemungkinan berlaku tragedi meragut nyawa seperti kes seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang maut selepas terjatuh dari balkoni rumahnya di tingkat 17, Blok A, PPR tersebut, pada 13 September lalu.

"Langkah ini supaya dapat membantu ibu bapa daripada meninggalkan anak bersendirian di rumah ketika mereka keluar bekerja.

"Saya cadangkan kita mula dengan fasa pertama misalnya, melibatkan  anak-anak berusia 10 tahun ke bawah, boleh ditempatkan di pusat jagaan itu," katanya.

Cadangan itu katanya, mengambil kira pengalamannya sebagai penyelaras di dun itu selama lima tahun apabila ada ibu bapa yang memohon bantuan kerana tidak mampu meletakkan anak-anak mereka di pusat jagaan.

Katanya, golongan ini bukan malas tetapi kemiskinan dan kos hidup tinggi menghalang mereka menghantar anak-anak ke pusat jagaan apabila suami isteri bekerja.

"Ada golongan isteri  nak kerja untuk tambah pendapatan keluarga tapi  disebabkan anak-anak yang masih kecil dan tiada siapa nak jaga, mereka terpaksa batalkan niat. Bayangkan jika pasangan suami isteri itu ada tiga anak kecil yang perlu dihantar kepada pengasuh.

"Jika kos seorang anak adalah RM300, sekiranya mereka ada tiga anak kosnya sudah jadi RM900 yang mana jumlah itu pula hampir sama dengan gaji suaminya. Jadi saya rasa antara peranan boleh dimainkan kerajaan adalah mewujudkan pusat begini bagi membantu golonagn wanita yang ingin keluar bekerja," katanya.