PRESIDEN Pertubuhan Kami Anak Felda (KAF) Malaysia, Fakhrurrazi Mohd Habib berkata, pecahan hutang yang perlu dibayar oleh peneroka perlu difahami dengan lebih jelas.

"Pertama, hutang pembangunan tanam semula sebanyak  RM40,000 diberikan kepada peneroka.  Kedua, dalam  tempoh tanam semula itu peneroka diberi elaun sara hidup sebanyak RM1,300 hingga RM1,500 dalam tempoh tiga tahun. Dijangka dalam lapan tahun, berlaku  pertambahan hutang sebanyak RM40,000.

 "Selepas 36 bulan semua hutang  (pokok dan sara hidup)  dikira semula kerana pada bulan ke-37  pengeluaran hasil sudah bermula. Pada peringkat ini, pokok sudah berbuah tetapi masih tidak mendatangkan hasil. Felda akan memberikan hutang lagi.

"Contoh jika peneroka dapat  RM500 sebulan, Felda akan tambah RM500 untuk memastikan pendapatan tidak kurang RM1,000 sehinggalah tahun kelapan. Ini semua masuk dalam akaun peneroka, bukan secara percuma," jelas anak peneroka Felda Gedangsa itu.

Katanya, hutang ditanggung peneroka adalah kos pembangunan tanam semula, elaun sara hidup dan pendahuluan hasil sehingga tahun kelapan.

"Bila dikira semula, anggaran hutang terkumpul ditanggung peneroka selepas ditolak pendapatan pada tahun keempat hingga kelapan, adalah berjumlah antara RM110,000 dan RM120,000 bagi seorang peneroka.

"Apabila masuk tahun kelapan, peneroka sudah boleh membayar semula hutang apabila ladang sudah mengeluarkan hasil. Secara kasar, pada tahun ke-15,  hutang lebih RM100, 000 itu boleh habis dibayar. Tetapi akibat masalah pengurusan ladang yang tidak betul menyebabkan hasil yang diperolehi peneroka tadi jadi tidak seberapa. Jadi mereka perlu berhutang lagi," katanya.

Beliau berkata, jika ladang diurus dengan betul dan pengeluaran hasil yang baik, peneroka boleh menutup akaun hutang pada tahun kelapan.

Menurutnya, kegelisahan peneroka tidak lain adalah hutang yang tidak mampu dibayar dan kebanyakannya pula tertekan kerana tidak tahu jumlah sebenar hutang mereka.

"Demi kelangsungan hidup pula, peneroka kalau boleh nak sistem macam dulu iaitu  jual buah dapat tunai supaya dapat berbelanja berbanding sekarang ini nak tunggu sebulan sedangkan pendapatan sekarang ini cuma antara RM200 dan RM300," katanya.

Katanya, KAF turut  merayu kerajaan PH agar dapat membantu peneroka yang semakin tertekan ini