SELAIN  membuat tinjaun sendiri ke beberapa lokasi di Kuala Langat, Wartawan Sinar Siasat juga mendapatkan maklumat daripada sebuah pertubuhan alam sekitar dalam merungkai masalah kilang kitar semula plastik di daerah berkenaan.

Pertubuhan berkenaan, Greenpeace percaya masih banyak sampah plastik  tidak diproses secara betul walaupun kerajaan telah hentikan  pengeluaran permit import (AP) bagi sampah selain serbuan dan sitaan kilang pemprosesan plastik haram  dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan.

Jurucakapnya, Heng Kiah Chun berkata, pemerhatian Greenpeace mendapati sampah  dibiarkan dalam kilang yang telah disita, ada yang dibakar dan dilupuskan secara salah.

Katanya, ia sesuatu yang tidak boleh berlaku kerana proses pelupusan haram memberikan kesan kepada penduduk sekitar.

“Dari kajian kami, beberapa kawasan di Pulau Indah, Klang dan Jenjarom menjadi tempat memproses sampah plastik tersebut.

“Malah, kami percaya ada beberapa tempat lagi sedang dibangunkan di negeri lain untuk memproses sampah plastik secara haram ini,” katanya.

Sebelum ini, Greenpeace mendedahkan hampir 19 buah negara mengeksport sampah plastik mereka dan menjadikan Malaysia sebagai tong sampah dunia, dikenal pasti dari Amerika Syarikat, Jepun, United Kingdom, Australia, New Zealand, Finland, Perancis, Belgium dan Sepanyol.

Mengulas lanjut, kata Kiah Chun, sejak China mengharamkan import sisa plastik ke negara itu, negara Asia Tenggara seperti Vietnam, Thailand dan Malaysia mula menerima sampah plastik dalam skala yang besar.

“Dari Januari hingga Julai 2018, Malaysia import 754,000 tan metrik sampah plastik yang bersamaan saiz 100,000 gajah.

“Jumlah tersebut amat banyak dan negara kita tidak mampu untuk menguruskan sampah tersebut secara mampan dan memenuhi standard ditetapkan,” katanya.

Jelasnya, atas sebab itu, terdapat sampah dibakar secara terbuka dan ada juga dilupuskan dengan dibuang ke pinggir sungai.

“Keadaan ini menyebabkan penduduk di kawasan sekitar terjejas dengan ada yang melaporkan kepada kami mengalami masalah kesihatan serius akibat masalah ini,” katanya.