GEOSAINTIS menepis dakwaan viral di media sosial yang mendakwa Malaysia berisiko dilanda gempa bumi kerana  titik gempa makin  menghampiri negara ini  berikutan bencana itu kerap berlaku di Indonesia sejak akhir-akhir ini.

Profesor Madya Mustaffa Kamal Shuib berkata, kedudukan titik gempa atau juga dikenali sebagai pusat gempa bumi sebaliknya  tidak beralih.

"Beberapa insiden gempa berlaku di Semenanjung Malaysia yang mana titik gempa itu memang sudah ada. Misalnya dari tahun 2007 hingga 2009 beberapa titik gempa telah berlaku di Bukit Tinggi (Pahang), Manjung (Perak) pada 29 April 2009 dan Jerantut (Pahang) pada Mac 2009 diikuti  beberapa titik gempa telah direkodkaan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan berhampiran Uu Bendol pada 30 November 2009.

"Sebelum itu rekod menunjukkan gempa berlaku pada 1984 di Tasik Kenyir (Terengganu) dan ia berlaku hingga 1985 dan 1986 berpunca daripada aktiviti pengisian  air ke dalam tasik buatan manusia tersebut. Seterusnya pada 2010, berlaku gempa di Kenyir manakala pada 2016 berlaku gempa di Kuala Berang. Semua titik-titik gempa itu berada di Semenanjung Malaysia. Sekarang ini berlaku beberapa beberapa  titik gempa direkodkan di Temenggor, Perak," katanya.

Menjelaskan secara lanjut Mustaffa berkata, titik-titik gempa berlaku bermula pada tahun 2007 itu adalah selepas gempa bumi dan tsunami besar di Acheh pada 2004.

"Semasa pergerakan kerak bumi ketika berlaku gempa bumi itu, Semenanjung Malaysia telah mengalami tekanan yang kuat dan tenaga itu perlu dibebaskan. Pembebasan tenaga itu berlaku secara cepat dan mana-mana kawasan lemah terutama sesar lama diaktifkan semula lalu menghasilkan gegaran-gegaran kecil (minor),bermagnitud 3.6 ke bawah ' katanya.

Sehubungan itu ujar Mustaffa, jelas menunjukkan titik gempa tidak berubah sebaliknya gempa yang berlaku di sempadan antara plat  yang menghasilkan gempa bumi di Sumatera masih berlaku cuma zon gempa akibat proses tektonik tersebut telah diluaskan dan sudah melampaui Sumatera  dan sampai ke Semenanjung Malaysia.

"Dulu gegaran yang kita rasa di Semenanjung Malaysia adalah akibat gempa besar di Sumatera yang mana sumber gempa bumi itu jauh  dari Semenanjung Malaysia.

"Tetapi sejak akhir-akhir ini selepas gempa bumi di Acheh pada 2004, titik gempa telah direkodkan di Semenanjung Malaysia (gempa bumi tempatan) akibat pembebasan tenaga secara cepat  di mana sesetengah satah satah sesar lama diaktifkan semula. Apabila sesar lama ini patah maka terjadilah gempa bumi," katanya. 

Menjelaskan lebih lanjut Mustaffa berkata, semasa gempa bumi dan tsunami  di Acheh dulu, plat Indo-Australia bertembung dengan plat Sunda ( dimana Semenanjung Malaysia dan Sumatera berada) dan pertembungan itu menyebabkan terhasilnya satu 'megathrust'  yang menghasilkan gempa serta tsunami.

Menurut pakar berkenaan, sekitar kawasan punca gempa dengan kedalaman sejauh 10 kilometer itu telah mengakibatkan anjakan kepada kerak bumi yang menghasilkan tsunami.

"Di Sumatera kesan tekanan akibat daripada pertembungan plat ini telah menyebabkan tenaga dilepaskan dan sesar besar dikenali sebagai sesar Barisan yang terdapat di Sumatera sentiasa diaktifkan untuk menghasilkan sesar bermagnitud sederhana hingga  besar (magitud enam ke atas),  seterusnya menghasilkan gempa bumi berskala besar hingga boleh mendatangkan bencana dahsyat. 

Dalam pada itu menurutnya, kita juga merasai gegaran apabila gempa bumi berskala besar berlaku (magnitud tujuh hingga sembilan) di Sumatera.

"Bila berlaku gempa bumi besar di Sumatera, Pulau Pinang, Ipoh, Kuala Lumpur hingga ke Singapura akan merasai gegaran. Punca gegaran adalah akibat gempa di Sumatera dan bukan berasal dari Semenanjung Malaysia.  Gegaran adalah bermagnitud kecil serta tidak mendatangkan kemusnahan. Kita cuma rasa goyangan," katanya.

Tambah Mustaffa, dapat kita rumuskan bahawa terdapat dua punca gegaran di Semenanjung Malaysia  iaitu  punca gempa bumi yang  berasal dari Sumatera dan satu lagi berasal dari Semenanjung Malaysia itu sendiri namun kedua-duanya tidak mendatangkan bencana kerana gempa bumi yang berlaku adalah berskala lemah.

"Gegaran ini tidak boleh membawa bencana atau kemusnahan misalnya kepada bangunan," kata beliau.