GEMPA yang berlaku di beberapa tempat di Semenanjung seperti Bukit Tinggi, Jerantut,Temerloh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Manjung dikatakan mempunyai kaitan dengan gempa di Acheh, Indonesia pada tahun 2004.

Pakar Gempa dan Tsunami, Datuk Dr Mohd Rosaidi Che Abas berkata, gempa di kawasan berkenaan adalah kesan gempa yang melanda Acheh.

Justeru itu, katanya, Malaysia telah mengambil tindakan agresif membangunkan sistem gempa dan tsunami serta prosedur operasi standard (SOP) di bawah  Agensi Pengurusan Bencana (Nadma).

“Agensi pelaksana  mengambil cakna dengan mengadakan latihan amaran tsunami di beberapa tempat berisiko antaranya Kudat dan Sabah.

“Bagaimanapun latihan amaran gempa masih belum dilaksanakan namun saya yakin kerajaan akan melaksanakannya tidak lama lagi,” katanya.

Pada masa sama, menurutnya, kawasan Shah Alam antara lokasi yang terkesan sekiranya berlaku gempa kuat di Sumatera dan sekitarnya.

Kekuatan tanah bergoncang di sekitar Shah Alam disebabkan gempa adalah pada skala enam.

“Ya sebelum ini kita tidak tahu, tetapi hakikatnya Shah Alam dan kawasan ke arah pantai antara kawasan terkesan.

“Sebelum Acheh, tiada gempa direkodkan di Semenanjung melainkan Tasik Kenyir pada 23 Februari 2016. Itu pun disebabkan oleh empangan,” katanya.