Kejadian gempa bumi yang kerap berlaku di Indonesia menjadi bualan rakyat Malaysia hingga ada segelintirnya memberikan pendapat bahawa negara ini turut berisiko bencana dahsyat itu.

Bagaimanapun Penyelidik Kanan Pusat Kajian Bencana Asia Tenggara (SEADPRI-UKM), Dr Lim Choun Sian berkata, gempa bumi yang berlaku di Indonesia tidak berlaku secara berangkai dan memberikan impak dahsyat kepada negara jirannya, Malaysia. 

Menurutnya, untuk menjelaskan semua itu masyarakat perlu memahami keadaan tersebut perlu memahami stuktur geografi dan bencana gempa bumi itu sendiri yang melibatkan plat tektonik.

"Malaysia berada di atas plat bumi besar bernama Eurasia atau pentas Sunda bersama-sama Indonesia di mana Sumatera, Pulau Jawa, Kepulauan Sulawesi dan Filipina terletak di pinggirnya.

Plat Eurasia ini dihimpit oleh plat Indo-Australia di bahagian barat dan selatan, manakala sebahagian Sulawesi dihimpit oleh plat Filipina dan Pasifik. Kecuali di Borneo terutamanya Sabah memerlukan perhatian khas disebabkan kedudukannya yang agak terdedah dan jarak yang dekat dengan Filipina dan juga punca penjana tsunami, di mana terdapat beberapa sistem gerakan kerak bumi yang bertindak pada kawasan ini.

Menjunam

"Bayangkan kita berada di atas pentas atau sebuah kapal besar, dan dilanggar oleh kapal lebih kecil (plat Indo-Australia dan plat Filipina). Kedua-dua plat Indo-Australia dan Filipina ini jenis kerak lautan, mereka tidak menerobos atau menjejaskan kapal semasa pelanggaran kerana mereka lebih berat sebaliknya hanya menjunam ke bawah.

Tegas Choun Sian, pusat gempa bumi yang beralih dan dikatakan semakin menghampiri Malaysia hingga diandaikan bahawa Malaysia akan ditimpa bala gempa bumi adalah tidak benar kerana masih tiada indikasi titik gempa di Indonesia mendekati negara kita.

"Cuma apa yang terjadi kadang-kadang terdapat gegaran amat kuat di Indonesia tahun 2004, 2005 dan 2007 sehingga mencetuskan gegaran sementara misalnya seperti gegaran berlaku di Bukit Tinggi (Pahang) yang berlarutan sekitar tahun 2007-2009" ujarnya yang memberikan beberapa insiden sebagai contoh.

Peta menunjukkan epicenter gempa bumi magnitud lebih 4.5 sejak 1900 hingga 2015.

Mendidik

"Pokoknya perlu ada beberapa proksi yang membantu masyarakat menilai maklumat yang mana agensi berkaitan perlu proaktif dan beberapa institusi geosains seperti  Lembaga Geologi, Institut Geologi dan Persatuan Geologi Malaysia harus memainkan peranan mendidik masyarakat berhubung maklumat gempa bumi," katanya.

Dalam pada itu menurutnya, walaupun tidak berupaya meramal gempa bumi, pemahaman sains hari membolehkan kita untuk menduga simptom gempa bumi. Ia boleh dilakukan secara pemantauan menggunakan peralatan untuk gerakan kerak dan perubahan bumi setempat secara berterusan dan mengambil masa yang panjang.

"Walaupun indikasi gempa bumi tidak setelus tanda-tanda satu gunung berapi akan meletus, tetapi komitmen atau pelaburan dalam penyiasatan geologi, geodetik dan seismologi secara bersepadu untuk menjawab sebarang tanda tanya mengenai gempa bumi yang timbul dilihat sudah mendesak.

"Misalnya jika nak mempersoalkan kesahihan gempa bumi yang berlaku di Bukit Tinggi itu. Kita boleh bergantung kepada pengalaman dan cerapan tetapi kita perlu buat pengesahan dengan sokongan data instrumentasi yang berterusan dan peralatan yang sesuai," ujar beliau.