EMPAT cadangan dikemukakan Pengerusi Pertubuhan Suara Generasi Ke-2 Felda  (SGK2F),  Mohammad Stap Othman untuk  membantu mengurangkan hutang-hutang yang terpaksa ditanggung  peneroka Felda.

Pertama, katanya, kos operasi seperti membina jalan ke ladang perlulah  dikenakan sama rata antara peneroka bersama Felda (bawah pengurusan FTP) dan peneroka tidak bersama Felda iaitu yang menguruskan ladang sendiri.

"Misalnya kos membaiki jalan pertanian itu bernilai RM100,000.00 maka kos tersebut  perlu dikenakan sama rata. Takkan, hanya peneroka di bawah sistem Felda dikenakan kos kerana peneroka yang urus sendiri ladang juga guna jalan  yang sama," katanya.

Kedua, katanya, Felda perlu menamatkan kadar bunga sebanyak 6.25 peratus dalam pinjaman wang sara hidup dan pendahuluan hasil dikenakan kepada peneroka yang terlibat dengan proses tanam semula.

"Mereka  sudah dikenakan hutang tak wajar seperti levi buruh, upah buruh dan juga membayar levi bulanan kepada FTP. Jadi kenapa kadar 6.25 peratus itu masih dikenakan kepada peneroka?" soalnya.

Ketiga katanya, Felda perlu mengeluarkan sijil atau 'surat  beranak' ke atas setiap pokok ditanam di ladang peneroka. 

"Surat beranak pokok untuk menentukan kos sebenar penyelenggaraan di ladang peneroka yang selama ini dibuat ikut hektar. Kita andaikan 130  pokok ditanam bagi satu hektar namun rupanya jumlah sebenar pokok dalam ladang itu cuma 100 pokok kerana pokok lain mati atau  tidak mendatangkan hasil.

"Bayangkan bagi satu hektar ladang,  kos selenggara dianggarkan RM10,000.  Kaji selidik untuk menolak kos tertentu boleh dibuat  kalau kita tahu identiti setiap pokok mati dan tidak berhasil. Misalnya kos buang pelepah, membaja atau meracun cuma dibuat  berdasarkan dirian pokok. Pokok dalam ladang tak penuh tapi peneroka bayar hutang  penuh. Selain itu dari pensijilan pokok kepala sawit  juga  kita boleh menentukan  baka pokok termasuk soal kualiti buah," katanya.

Keempat pula, katanya, Felda mesti mewartakan semua potongan untuk beberapa jenis tabung dikenakan ke atas peneroka. 

"Misalnya Tabung Minda Felda yang dikenakan sebanyak RM12 setahun daripada pendapatan bonus. Begitu juga kutipan Tabung Pemulihan Ladang atau  Tabung Tanam Semula kedua. Bagi peneroka tahu berapa jumlah  sebenar wang terkumpul daripada kutipan tabung milik peneroka ada pada Felda.  Jumlah insurans ladang  peneroka juga mesti diwartakan. Peneroka nak jelas tahu berapa polisi insurans itu," katanya.

Mohammad Stap berkata, masalah peneroka Felda yang makin terhimpit hutang hingga ada  yang mencecah lebih RM100,000 adalah kerana kelemahan pengurusan ladang  oleh FTP.

"Macama mana nak bayar hutang kalau pendapatan tak ada. Ini situasi dihadapi peneroka sebenarnya," katanya.