Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, kakitangan MPOB mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang berkaitan kelapa sawit.
"Tanya mereka apa yang boleh dibuat kerana harga kita boleh tentukan jika kita kuasai bekalannya, bukan hari ini sahaja ia turun.
Menteri dan kerajaan kena faham dan tanya pegawai yang berkenaan.
"Ketika saya jadi Pengerusi MPOB, setiap keputusan bukan hanya dari saya. Sebaliknya setiap keputusan yang dibuat adalah dari pakar-pakar dalam MPOB bersama  dengan Kementerian Perusahaan Utama," katanya.
Beliau berkata, ahli politik juga seharusnya sedar bahawa setiap bahan mentah seperti kepala sawit, getah, gula, minyak, minyak mentah mempunyai putaran.
"Kesemua bahan mentah ini mempunyai pusingannya dalam pasaran dunia, ada naik dan turun. Minyak mentah contohnya pada satu ketika dahulu pernah berharga AS $120 setong.
"Apatah lagi soal harga sawit, jadi bagi kerajaan yang menjadi pemerintah dan menteri berkaitan, dia patut fikir ini bukan soal harga di pasaraya sebaliknya ia harga dunia semasa," katanya.
Beliau yang juga mantan Pengerusi MPOB berkata, ketika memegang jawatan berkenaan beliau telah memperkenalkan Skim Insentif Tanam Semula bagi membantu peneroka.
"Melalui skim ini kita beri insentif kepada pekebun kecil sawit seramai 650,000 termasuk peneroka Felda tanam sawit.
"Kita bagi kepada mereka yang berdepan masalah pokok susah nak tuai dan hasil merudum, kita minta tebang pokok yang tidak mendatangkan hasil.
"Kita bayar melalui skim ini supaya kita boleh kurangkan bekalan sawit. Kita cari jalan bagaimana minyak sawit dapat digunakan sebagai bahan bakar," katanya.