Seramai 83 mangsa termasuk dua kematian dalam kes keracunan makanan kerana memakan laksa  dibeli di sebuah premis di Kupang, Baling, Kedah pada 8 Oktober lalu. Ia disahkan berpunca daripada bakteria 'salmonella enterica serovar weltevreden'  dan risiko keracunan makanan itu dipercayai akibat proses  penyediaan dan penyimpanan mi laksa tidak betul. 

Bertitik tolak dari kes ini, Wartawan Sinar Siasat meninjau keadaan beberapa warung dan gerai di Lembah Klang. Hasilnya menemukan beberapa warung dan gerai masih kotor serta menjijikkan tetapi pengunjung tetap selera makan! Tidakkah takut keracunan?            

Peniaga abai kebersihan                        

Soal kebersihan warung atau gerai makanan yang kotor sememangnya bukan perkara baharu di Malaysia. Wartawan Sinar Siasat  baru-baru ini membuat tinjauan ke beberapa warung dan gerai untuk  melihat sendiri keadaannya dan ternyata persekitaran beberapa premis didapati masih kotor.

Misalnya sampah bertaburan, longkang dipenuhi air berkeladak kerana sisa minyak dibuang ke dalam longkang. Bahkan Wartawan Sinar Siasat menemukan ayam sudah dipanggang di bawah rak barang.

Sikap peniaga yang tidak menjaga kebersihan hingga warung kotor dan jijik itu dibimbangi memangkin kes keracunan makanan dengan perangai setengah peniaga yang tidak mengambil suntikan Typhoid.

Penyelidik keselamatan makanan di Fakulti Sains dan Teknologi Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Noor Azira Abdul Mutalib berkata, ini kerana pengendali makanan di warung atau gerai dikesan tidak mengambil suntikan berkenaan.

"Ia boleh meningkatkan risiko penularan penyakit apatah lagi lokasi warung di negara ini banyak dibina di tepi jalan serta berdekatan longkang telah semula jadi berdepan risiko pencemaran. Persekitaran premis pula kotor.

"Sudah sampai masa kerajaan perlu menyelidik sama ada pengusaha warung dan pekerja mereka mengambil suntikan untuk mengurangkan risiko jangkitan daripada salmonella typhi (pembawa jangkitan). Peniaga atau pekerja itu memang tak sakit, tapi jika tiada suntikan, mereka berisiko menyebarkan bakteria seterusnya menyebabkan jangkitan penyakit kepada pelanggan warung," katanya.

                                                                                          NOOR AZIRA

Menurut Noor Azira, bayaran untuk suntikan itu hanya sekitar RM50 dan perlu diperbaharui setiap tiga tahun tetapi diabaikan oleh pengusaha warung dengan persepsi perniagaan warung tidak perlu rumit seperti prosedur restoran besar.

Lebih serius, apabila trend sekarang ini peniaga warung banyak mengupah tukang masak dan pekerja warga asing yang tidak mengambil suntikan untuk pengendali makanan.

Noor Azira berkata, sudahlah peniaga tidak mengambil suntikan, ia ditambah pula lokasi sesebuah warung di tepi jalan raya dan berdekatan longkang menyebabkan risiko pencemaran makanan meningkat, seterusnya mengundang kes keracunan makanan.

"Lokasi premis jauh dari sumber air bersih. Ada pekerja warung menggunakan air bertakung iaitu air dalam baldi atau bekas seperti besen untuk membasuh bahan mentah serta pinggan mangkuk.

"Membina warung berdekatan jalan raya menyebabkannya terdedah kepada pencemaran seperti habuk dan asap kenderaan apatah lagi jika bekas makanan tidak bertutup. Asap kenderaan misalnya boleh mengundang risiko batuk kerana mengandungi plumbum dan gas beracun," katanya.

Menurut Noor Azira, sesebuah warung juga sewenang-wenangnya dibina berdekatan longkang dan tempat pembuangan sampah yang mana ia adalah lokasi kegemaran haiwan pembawa bakteria seperti tikus, lipas dan lalat yang boleh menyebabkan keracunan makanan.

"Perlu diingat sebanyak 55.21 kes keracunan makanan daripada 100,000 populasi direkodkan pada 2016 yang mana menunjukkan peningkatan berbanding 47.35 kes daripada jumlah populasi sama direkodkan pada 2015. Ia bukan angka kecil, jadi kena lihat punca kes itu," tegasnya.

Noor Azira seterusnya berkata, sudahlah lokasi warung itu sendiri terancam risiko keracunan makanan, sikap tidak bertanggung jawab peniaga dan pekerja warung ketika menyimpan bahan mentah serta menyediakan bahan masakan memangkin pencemaran.

"Ini termasuk sikap pekerja warung suka meletakkan bahan mentah di atas lantai sedangkan ia sekurang-kurangnya tiga kaki dari paras lantai dan bahan mentah tidak boleh diletakkan di atas surat khabar. Tapi keadaan seperti ini cukup biasa kita lihat di warung atau gerai makanan," katanya.