PERSATUAN  Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) berharap kerajaan baharu dapat mewujudkan satu badan khas yang berupaya menjaga kebajikan artis veteran supaya nasib mereka mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Presidennya, Rahim Jailani berkata, badan khas ini penting bagi membolehkan artis-artis veteran mengadu nasib dan masalah yang membelenggu mereka.

"Kita perlukan badan khas itu untuk lihat kebajikan artis veteran, kita tak kisah siapa asalkan kita dapat kenalpasti siapa yang kita boleh rujuk.

"Kita tak kisah badan khas itu di bawah siapa sama ada Penerangan atau Finas  atau mana-mana yang berkaitan untuk menjadi tempat kita luahkan perasaan atau masalah," katanya.

Beliau mendakwa pernah menulis surat kepada beberapa kementerian untuk membuat kunjung hormat dan berbincang mengenai kemelut yang melanda artis veteran ini namun tidak mendapat maklum balas yang positif.

"Kita beberapa kali tulis surat kepada beberapa menteri namun tiada jawapan.

"Sebenarnya tuntutan untuk mewujudkan badan khas ini bukan baharu bahkan sudah lama kita perjuangkan sejak tahun 2014 lagi," katanya.

Menurutnya, antara isu yang diperjuangkan adalah isu ketiadaan rumah, masalah uzur dan tiada job.

"Dalam usia veteran masih ramai pelakon yang masih menyewa dan tiada rumah.

"Bahkan ada yang menumpang rumah anak-anak, saya sebagai presiden pernah perjuangkan artis-artis veteran agar diberi rumah PPR bagaimanapun sampai sekarang masalah tak selesai," katanya.

Berkenaan nasib artis veteran yang mempunyai peluang terhad berlakon drama dan sebagainya, Rahim berkata, artis bergantung kepada tawaran berlakon sama ada daripada stesen televisyen  swasta atau kerajaan.