PENGERUSI  Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), Datuk DJ Dave mengingatkan artis-artis baharu yang popular  menguruskan pendapatan dengan baik supaya tidak hidup susah pada hari tua.

DJ Dave sebagai artis berpengalaman dalam pahit manis dunia hiburan memberikan nasihat itu kepada artis generasi baharu apatah kepada mereka yang sedang di puncak populariti.  

"Artis-artis baharu sedang di ambang kemewahan kena fikir hari tua. Mereka kena buat persediaan kerana tidak selamanya akan berada di atas.

"Duit banyak diperoleh hari ini tetapi kalau tak tahu urus, semua itu akan  hilang," katanya.

Menurutnya, tidak salah jika seseorang artis  menjalani hidup secara sederhana  tanpa perlu menghabiskan wang semata-mata mementingkan gaya penampilan."Kena hidup sederhana. Misalnya  jika kereta masih boleh guna buat apa nak beli kereta baru semata-mata nak menyaingi artis lain?

"Urus gaya hidup sesuai dan jangan terikut-ikut. Kalau ada orang perlu bantuan dalam industri seni ini, bantulah mereka setakat termampu," ujar DJ Dave.

DJ Dave memimpin YKAT yang dahulunya dikenali  sebagai Yayasan Artis 1Malaysia dan telah  membantu lebih 1000 artis baharu dan lama tanpa mengira usia yang  kesempitan hidup, sakit dan sebagainya termasuk bantuan perumahan dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

DJ Dave, 71, berkata, yayasannya bertanggungjawab menjaga kebajikan artis dan sesiapa yang memerlukan bantuan daripada yayasan, mereka mesti menjadi ahli mana-mana persatuan sama ada Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) atau Persatuan Penyanyi, Pemuzik, Penulis Lagu Tanah Air (Papita).

"Yayasan ada memperkenalkan insurans melalui program Khairat Kematian YA1M yang mana ahli kena bayar RM100 setahun tidak kira artis beragama Islam dan bukan Islam.

Bagi artis bukan Islam pula, wang khairat RM1,500 akan diberikan pada hari kematian manakala tambahan RM4,500 lagi selepas 30 hari.

"Kalau kira bayaran harian hanya 25 sen seorang namun itupun ada orang tak nak beli sedangkan bagi artis beragama Islam, mereka boleh tunai  ibadat haji termasuk pengurusan kematian bila mereka meninggal dunia.

"Waris juga akan diberikan bayaran insurans. Semua ini saya sudah laksanakan tetapi orang tak nak faham dan masih ragu-ragu nak beli insurans ini," katanya.

Dalam pada itu, berhubung pelaksanaan  akta bagi melindungi kebajikan artis di negara ini DJ Dave berkata, isu royalti boleh diselesaikan secara tuntas dengan adanya akta itu.

Misalnya beliau sendiri yang sudah mempunyai 43 album tanpa segan silu mendedahkan, hanya menikmati royalti daripada kesemua album itu sekitar  RM8,000 setahun.

Katanya di negara ini individu yang mewah menerima royalti adalah komposer dan penulis lirik bukan penyanyi.

Dalam pada itu, DJ Dave menyambut  baik sekiranya ada cadangan untuk stesen televisyen mewujudkan sebuah program untuk artis lama bagi membuka peluang mereka menambah pendapatan.