PRESIDEN Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman merayu Felda agar menangguhkan terlebih dahulu potongan hutang ke atas peneroka.

Beliau berkata, pendapatan peneroka pada ketika ini begitu merosot berikutan harga komoditi yang jatuh selain masalah bencana dan serangan ulat bungkus yang menyerang ladang peneroka.

"Saya merayu kepada Felda supaya potongan ke atas hutang ini ditangguhkan dan tidak dipotong mengikut kaedah biasa yang mana ia sangat membebankan peneroka pada ketika ini," katanya.

 Mazlan turut menyarankan agar kerajaan memberikan bantuan kepada peneroka yang terjejas melalui Tabung Insurans Ladang.

Namun, kata Mazlan, Felda seharusnya telah bersedia dengan mekanisma tertentu apatah lagi lembaga tersebut berada di bawah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"Anak mengharapkan tindakan cepat dapat dilakukan kerajaan kerana ia melibatkan periuk nasi peneroka.Kerajaan perlu menyediakan pampasan atau bantuan khas," katanya.

Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Wilayah Jengka, Sulaiman Bakar berkata, keresahan dan bebanan golongan peneroka itu perlu diberi perhatian oleh Felda serta kerajaan.

Beliau berharap pengurusan Felda dan kerajaan dapat memberi perhatian serta melakukan sesuatu bagi membantu peneroka serta dapat memastikan harga kelapa sawit kembali naik.

“Dahulu, sekiranya pendapatan peneroka di bawah RM1,000, Felda akan menambah bayaran yang dibayar kembali oleh peneroka apabila mendapat hasil yang lebih tetapi sekarang tiada lagi,” katanya.