PERSATUAN  Seniman Malaysia (Seniman)  benar-benar berharap kerajaan Pakatan Harapan  mewujudkan satu akta khas yang dapat melindungi serta membela kebajikan kehidupan  semua penggiat seni tanah air

Presidennya Zed Zaidi berkata, jumlah artis veteran sedia ada ditambah pula  kemunculan ramai artis baharu serta kelahiran siswazah dalam seni persembahan berikutan perkembangan industri kreatif begitu memerlukan akta khas  tersebut supaya tiada mana-mana pihak  boleh memanipulasi artis tidak kiralah penyanyi, pelakon, pelawak atau kru produksi.

Menurutnya,  secara mata kasar masyarakat melihat golongan artis sebagai individu mewah namun apabila  laporan demi laporan didedahkan media mengenai kedaifan kehidupan seseorang artis terutama di penghujung usia, tidak semena-mena ia menjadi cabaran baharu Seniman dalam membela nasib artis terutama ahli di bawah naungan persatuan itu supaya diambil perhatian serius oleh kerajaan.

"Ini yang kita (Seniman) tekankan  dari dulu. Isu kebajikan artis ni adalah disebabkan ketiadaan akta khas atau kuasa undang-undang seperti yang diwujudkan misalnya untuk golongan nelayan dan buruh.  

"Contoh, sukar untuk kita tetapkan gaji minimum kepada golongan artis kerana dalam industri seni tiada suatu akta khas yang membolehkan kita dilindungi seperti itu," katanya.

Pemilik nama sebenar Rozaidi Abd Jamil itu menambah,  kewujudan akta berkenaan boleh mengelakkan sebarang manipulasi terhadap penggiat seni misalnya kes sesebuah syarikat produksi tidak membayar artis, isu jaminan kontrak, kes bayaran minimum termasuk had masa bekerja kepada mereka dan juga isu pembelian drama oleh stesen televisyen.

"Dengan adanya akta untuk  orang seni, ia boleh memberi perlindungan kepada mereka supaya menjadi lebih bernilai dan dipandang mahal pada masa depan. Misalnya perjuangan dari segi menuntut royalti. Penyanyi mungkin kurang menghadapi  masalah besar kerana mereka boleh dapat royalti tetapi bagaimana dengan pelakon drama sedangkan waktu bekerja mereka memerlukan komitmen tinggi? 

"Bagaimana mereka mahu meneruskan kelangsungan hidup pada hari-hari seterusnya  jika kadar bayaran mereka adalah bergantung kepada sesuatu projek drama, jadi kita juga mahu pelakon drama diberikan royalti apabila drama mereka kerap diulang tayang oleh sesebuah stesen televisyen. Keadaan industri hiburan kita juga tegang akibat tekanan daripada stesen televisyen. Beli harga sama (drama), kemudian ulang tayang sedangkan pelakon tidak mendapat royalti pun. Beginilah contoh isu royalti yang Seniman mahu perjuangkan," tegas Zed.

Seperkara lagi perlu dilihat supaya industri seni memiliki akta ini kata Zed, ialah berkaitan had masa bekerja yang tidak tentu kerana jadual di lokasi  tidak menentu hingga adakala melebihi masa dipercayai antara punca golongan artis terlibat dadah apabila mengambil langkah salah untuk menghilangkan tekanan.

Sambung Zed, dengan adanya akta itu juga nanti Seniman akan mengusulkan syarat pembikinan sesebuah drama atau filem perlu menempatkan sekurang-kurangnya 30 persen kuota untuk artis veteran bagi meneruskan kesinambungan punca pendapatan artis lama.

Selain itu Zed yang juga seorang pelakon berkata, akta itu diyakini dapat mewujudkan peluang pekerjaan lebih meluas dalam industri seni dan hiburan yang boleh dimanfaatkan oleh semua penggiat seni.

Beliau berkata, dengan kelahiran siswazah seni yang semakin ramai memungkinkan akta berkenaan sangat diperlukan dalam usaha menyediakan mereka peluang pekerjaan sekali gus meningkatkan kualiti anak-anak seni tanah air iaitu bukan sekadar dipuja waktu popular, kacak dan cantik tetapi dilupakan di penghujung usia senja.

Katanya, jika ada akta dan garis undang -undang sah maka Seniman akan terus memperjuangkan isu kebajikan artis dari segi tuntutan bayaran dan kontrak supaya ia seseorang artis dapat memanfaatkan royalti itu bukan sahaja untuk mereka apabila tidak aktif lagi tetapi untuk waris mereka.

"Dalam erti kata lain ibarat wang pencen mereka bila dah tak aktif lagi. Kalau akta itu wujud, manipulasi terhadap mereka boleh dikurangkan selain memperkemas pentadbiran artis.  Buat masa ini apa Seniman lakukan adalah mengumpulkan maklumat semua artis  untuk mewujudkan pangkalan data supaya memudahkan atau boleh digunakan oleh agensi kerajaan pada masa akan datang.

"Seniman mengumpul data mengikut kategori artis seperti pelakon, penyanyi,  pelawak termasuk pecahan mengikut bangsa untuk membantu agensi kerajaan. Mengambil contoh bidang pekerjaan lain apabila kakitangan mereka mempunyai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja ( KWSP) tapi dalam industri seni, kami bertahan hidup dengan apa yang kami dapat dalam tempoh itu sahaja (sesebuah projek seni).  Ini juga supaya artis generasi akan datang tidak akan dapat nasib buruk seperti sesetengah artis lama," katanya.

"Seniman mahu perjuangkan isu kebajikan artis kita dengan adanya akta ini. Jadi kami harap, usul akta ini dibincangkan di Parlimen.  Hanya kerajaan yang mampu mengubah keadaan ini kerana ia melibatkan kos kajian dan perundangan.

"Ini juga supaya artis kita selamanya dipandang profesional,  bukan dilihat sebagai insan terbuang dan perlukan bantuan sumabangan masyarakata apabila di penghujung usia.

"Kalau kita lihat dari sudut kebajikan, banyak masalah kita lihat sebelum ini seperti isu KWSP, insurans, Socso termasuk isu perumahan melibatkan artis kita cuba selesaikan satu persatu. Cabaran baharu Seniman adalah berjuang untuk akta ini," kata Zed.

Dalam pada itu kata Zed, dengan kehadiran saluran  media sosial mendesak industri tanah air sememangnya memerlukan akta khas untuk melindungi artis sama ada untuk kebajikan atau keselamatan mereka.