PUTRAJAYA - Konflik antara pengendali Kolej Vokasional (KV)  swasta,  Admal Aviation College dan Kementerian (KPM) pada September lalu langsung tidak mencalarkan imej kolej tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Admal Aviation College, Abdul Malek Packeer berkata, kolej berkenaan komited untuk melahirkan pekerja berkemahiran sejajar dengan inspirasi  pelaksanaan bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini.

"Permasalahan itu sudah selesai sepenuhnya. Semua pihak termasuk pelajar terlibat sudah menerima  penjelasan mengenai permasalahan sebenar antara Admal Aviation College dan KPM.

"Alhamdulillah, situasi pembelajaran kembali seperti biasa. Latihan untuk mereka berjalan lancar.  Mereka baharu sahaja tamat peperiksaan dan sedang bercuti semester sekarang ini," katanya selepas Majlis Konvokesyen ke-5 Admal Aviation College di The Everly Hotel di Putrajaya, hari ini.

Pada September lalu, Sinar Siasat melaporkan mengenai seramai 197 pelajar mengikuti program vokasional (Diploma in Aviation, Ground Handling-Ramp Services) di Admal Aviation College terpaksa dilanjutkan cuti persekolahan gara-gara masalah pembayaran daripada KPM.

[ARTIKEL BERKAITAN: http://www.sinarharian.com.my/siasat/pelajar-diberi-cuti-kerana-masalah-kewangan-1.883200]

[ARTIKEL BERKAITAN: http://www.sinarharian.com.my/siasat/pelajar-admal-aviation-college-tertekan-1.883194]

Isu berkenaan kemudiannya mencetuskan persepsi terhadap sistem pendidikan TVET. 

[ARTIKEL BERKAITAN: http://www.sinarharian.com.my/siasat/kecewa-konflik-admal-aviation-college-kpm-dipolitikkan-1.884205]

Tegas Abdul Malek, bagaimanapun semua perkara sudah kembali jernih dan  tiada sebarang isu lagi berkaitan perkara itu serta pihaknya akan terus komited menjalankan peranannya sebagai salah satu institusi yang menawarkan program berkaitan bidang pesawat.

Hari ini, seramai 159 pelajar menerima Diploma dan Sijil masing-masing  terdiri daripada   Diploma of Engineering Technology in Aeroplane Maintenance (44  pelajar),  Diploma of Engineering Technology in Avionics Maintenance (16 pelajar) dan Diploma in Aviation Business (15 pelajar) dan Certificates of Aircarft Manufacturing Technician (84 pelajar).

Pelajar terbaik dinobatkan kepada Amy Diyana Lana Aizan yang mengambil Diploma in Aviation Business.

"Saya difahamkan kira-kira 80 peratus daripada pelajar yang terlibat dalam majlis konvokesyen hari ini dilaporkan sudah mendapat tempat untuk bekerja. Ini membuktikan kami  bukan syok sendiri dalam menyediakan latihan kepada pelajar di kolej ini.

"Latihan  yang ditawarkan adalah berdasarkan kehendak industri penerbangan supaya melahirkan pekerja mahir dan memiliki pengiktirafan (lesen) dalam bidang masing-masing," katanya. 

Umum tahu peluang kerjaya kepada pemegang lesen kejuruteraan selenggara pesawat kini sedang terbuka luas sama ada dalam negara mahupun di luar negara.