SEGAMAT – Tindakan polis menyoal siasat isteri bekas perdana menteri, Tun Dr Siti Hasmah Ali berkaitan penyertaan beliau dalam perhimpunan ‘Wanita Bantah Politik Toksik’ di Kuala Lumpur, September lalu, disifatkan siasatan terpilih dan tidak adil.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, beliau yakin rakyat mahu polis menumpukan terhadap tugasan polis terhadap penjenayah sebenar dan bukannya isteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Polis perlu fokus terhadap jenayah-jenayah besar seperti rompakan dan bukannya kes seperti ini dan seharusnya kerajaan Umno BN perlu memperhalusi cara lain dan bukannya bertindak sedemikian (soal siasat).

“Sebagai salah seorang pemimpin wanita yang dihormati dan disegani, Tun Hasmah sepatutnya diberikan sedikit penghormatan dan bukannya dilayan seperti ini dan ini hanya akan menimbulkan ketakutan di kalangan penyokong,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata kepada pemberita sewaktu Majlis Ramah Mesra Warga Felda di Felda Redong, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Naib Presiden Amanah Negeri Johor, Dr Sulaiman Mohd Nor dan Penyelaras Parlimen Sekijang, Tan Poh Lai.

[ARTIKEL BERKAITAN: Polis rakam kenyataan Siti Hasmah ]

[ARTIKEL BERKAITAN: Polis tidak bertindak keras terhadap Siti Hasmah ]

Jumaat lalu, Siti Hasmah, 91, disoal siasat di Yayasan AlBukhary di ibu negara  dipercayai berkaitan penyertaan beliau dalam perhimpunan 'Wanita Bantah Politik Toksik' di Kuala Lumpur pada September lepas.

Pada masa sama, Nurul Izzah yang menganggap dirinya sebagai ‘askar’ di dalam PKR hanya akan menurut arahan pimpinan PKR pusat sekiranya beliau diarahkan untuk bertanding kerusi parlimen di negeri ini.

Ini susulan khabar angin yang mendakwa Nurul Izzah akan bertanding kerusi parlimen di Johor di dalam PRU14.

“Sekiranya tidak bertanding di negeri ini, saya akan mempertahankan kerusi Lembah Pantai dan berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JOHOR BAHRU - Kementerian Dalam Negeri menjelaskan penahanan polis ke atas Tun Dr Siti Hasmah tidak melibatkan tindakan kekerasan.
  • KUALA LUMPUR - Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menganggap tindakan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bertemu dengan anak perempuan kepada Jamalul Kiram lll iaitu Jacel Kiram merupakan penderhakaan kepada negara.
  • KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyifatkan perbuatan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berjumpa Jacel Kiram, anak perempuan Jamalul Kiram III, adalah satu pengkhianatan kerana wanita itu dianggap musuh negara.
  • PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan dikemukakan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) dan Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Mohamad Salleh berhubung saman fitnah mereka terhadap Nurul Izzah Anwar dan PKR berkaitan kenyataan pembelian lapan unit hartanah di KL Eco City.