KUALA LUMPUR - Seorang pesara polis berpangkat Sarjan didakwa di dua Mahkamah Sesyen berasingan di sini hari ini atas lima pertuduhan meminta dan menerima suapan berjumlah RM3,150  daripada tiga individu, dua tahun lepas.

Misnan Saari, 56, yang memakai kemeja biru lengan pendek berpetak, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah dan Hakim Allaudeen Ismail.

Di hadapan Madihah, Misnan, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, didakwa telah menerima wang tunai RM200 daripada Azmi Abdul Talib, dengan tiada balasan yang mana tertuduh ketahui ada hubungan dengan tugas rasmi tertuduh.

Bapa kepada tiga orang anak itu didakwa melakukan perbuatan itu di Tingkat 3, Blok D, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Wangsa Maju pada jam 4.40 petang, 27 Mac 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua hingga keempat, dia didakwa meminta wang tunai RM1,000, menerima masing-masing RM250 dan RM200 daripada Aizi Ikhffa Ahmad, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Aizi Ikhffa yang telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di tempat sama antara jam 8.30 malam, 27 Mac 2016 dan 2 petang, 28 Mac 2016.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Di hadapan Allaudeen, pesara kerajaan itu didakwa menerima suapan wang tunai RM1,500 daripada Muhammad Shah Radhi Hazvee sebagai dorongan untuk tidak menyebabkan Muhammad Shah Radhi dituduh di mahkamah atas kesalahan dadah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di stesen minyak Shell, Jalan Ipoh, di sini, antara jam 2.50 petang dan 3 petang, 30 Sept 2015.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Abdul Rashid Sulaiman menawarkan wang jaminan RM20,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan memohon mahkamah menetapkan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di SPRM setiap bulan.

Peguam Norman Mohd Nasir, yang mewakili tertuduh, memohon mahkamah mengurangkan jumlah itu dengan alasan anak guamnya yang telah berkhidmat sebagai anggota polis selama 37 tahun tidak mempunyai kebarangkalian untuk melarikan diri kerana baru dua bulan bersara dan menerima pencen kerajaan.

Hakim Madihah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi empat pertuduhan dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan pasport diserah kepada mahkamah, melapor diri di pejabat SPRM berhampiran pada minggu pertama setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 27 Nov ini untuk sebutan semula kes.

Dalam pada itu, Hakim Allaudeen membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan yang sama ditetapkan Hakim Madihah dan menetapkan 23 Nov ini untuk sebutan semula kes.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JOHOR BAHRU - Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan penahanan lima individu termasuk dua wanita dalam serbuan yang dilakukan ke atas sebuah rumah di Jalan Nusa Bestari dekat Skudai, di sini, dua hari lalu.
  • PUTRAJAYA - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan kes empat kenderaan milik pegawai kanan kastam dan anggota keluarganya yang terbakar dalam kejadian di kuarters kerajaan di Presint 11 di sini minggu lalu mempunyai unsur jenayah.
  • SHAH ALAM - Polis sedang mengesan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang dipercayai melepaskan satu das tembakan di tempat awam dalam kejadian di Jalan Telok Bunut, Banting awal pagi tadi.
  • KUALA LUMPUR - Kesiapsiagaan dan ketangkasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menggagalkan satu demi satu cubaan kumpulan pengganas melaksanakan tindakan keganasan termasuk rancangan serangan pada beberapa acara penting di negara ini.
  • GEORGE TOWN - Polis telah menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat kes Felda kehilangan hak ke atas tanahnya di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.