KOTA BHARU - Seorang Pembantu Operasi Bahagian Perumahan mengaku tidak salah di mahkamah seysen, di sini, tadi, atas dakwaan memalsukan surat pindah milik tanah seluas 2.709 hektar.

Dakwaan terhadap tertuduh Saidi Mohamad, 42, dibuat di hadapan Hakim, Ahmad Bazli Bahruddin.

Tertuduh didakwa memalsukan surat pindah milik tanah, bahagian atau pajakan tanah seluas 2.709 hektar di Lot 1702, Mukim Manjor, Kuala Krai, untuk tujuan menipu di Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai pada 25 November 2015.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Hajarul Falenna Abu Bakar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Hajarul Falenna memohon tarikh sebutan semula untuk pengurusan kes dan tidak mencadangkan jaminan terhadap tertuduh.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 22 Januari depan.

Tertuduh dihantar ke Penjara Pengkalan Chepa kerana tidak ada jaminan dibenarkan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :