SHAH ALAM - Lima kanak-kanak warga Indonesia adalah antara 110 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang berjaya diberkas Jabatan Imigresen Selangor dalam serbuan di dua buah rumah kongsi di sebuah tapak pembinaan di Bukit Mahkota, Kajang awal pagi semalam.        

Ketua Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Selangor James Lee berkata serbuan menerusi Ops Ikrar itu dijalankan sepasukan anggota dan pegawai jabatan tersebut bermula  1 pagi dan berakhir tiga jam kemudian.       

"Operasi dibuat hasil maklumat awam dan risikan selama dua minggu yang membawa kepada penahanan 110 Pati daripada sejumlah 373 warga asing yang diperiksa di dua buah rumah kongsi tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.   

Beliau berkata kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan dua hingga 48 tahun.         

Mereka terdiri daripada 93 warga Indonesia iaitu 58 lelaki, 30 wanita serta lima kanak-kanak, 10 lelaki Bangladesh, empat lelaki Pakistan, dua lelaki Vietnam dan seorang lelaki warga India.      

Beliau berkata  Imigresen Selangor juga sedang mengumpul maklumat berhubung sindiket pemalsuan pas kerja berikutan tiga daripada yang ditahan tersebut mempunyai pas kerja  palsu.

"Tahanan lain melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63  iaitu tidak mempunyai pas atau permit sah untuk tinggal di negara ini  serta Seksyen 15(1) akta sama iaitu tinggal di negara ini melebihi tempoh dibenarkan," katanya.         

Katanya kesemua tahanan dibawa ke Bahagian Penguat Kuasa Imigresen Selangor untuk tindakan lanjut.- Bernama 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PORT DICKSON - Buat julung kalinya, Jabatan Imigresen menjalin kerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah inisiatif Strategi Lautan Biro Kebangsaan (NBOS) untuk mengadakan kursus asas Pegawai Imigresen Gred KP19 di Akademi Tentera Darat (ATD).
  • KOTA BHARU - Perjalanan sebuah bas eskpres dari Butterwoth, Pulau Pinang ke Kelantan yang membawa pendatang tanpa izin (Pati) warga Manyamar berjaya dikesan pihak Jabatan Imigresen Kelantan di sini pagi tadi.
  • BUKIT KAYU HITAM - Seorang wanita warganegara Myanmar yang juga pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) ditahan dalam Op Wawasan Kedah/Perlis baru-baru ini kerana dipercayai menjadi tekong penyeludupan Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati).
  • PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen telah menahan beberapa pegawainya di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) yang disyaki terlibat melakukan tindakan tidak berintegriti berikutan laporan pembolosan warganegara asing khususnya warga Bangladesh melalui sindiket terancang di KLIA.