KUALA LUMPUR - Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan suaminya, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim dilihat belum menemui nokhtah dalam mencari penyelesaian konflik perkahwinan mereka yang berlarutan sejak Januari lalu.

Dalam prosiding hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Ab Malek Awang, peguam Normawaddah Ramli yang mewakili Nurul Izzah selaku plaintif, memberitahu kedua-dua pihak masih melakukan perbincangan untuk menyelesaikannya secara baik.

Normawaddah kemudian memohon tarikh lain bagi membolehkan sebarang hasil penyelesaian direkodkan.

Peguam Zulkifli Che Yong yang mewakili Raja Ahmad Shahrir Iskandar tiada bantahan berhubung perkara itu.

Namun, beliau berkata pihaknya akan membuat permohonan untuk melantik 'Hakam' sekiranya tiada penyelesaian dicapai pada tarikh itu.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 3 Sept ini untuk tujuan rekod penyelesaian tersebut.

Bagaimanapun, dalam prosiding hari ini pasangan berkenaan tidak hadir.

‘Hakam’ adalah sebuah jawatankuasa yang dilantik oleh mahkamah untuk menasihati suami melafazkan talak tetapi sekiranya suami masih enggan maka ‘Hakam’ tersebut akan melafazkan talak bagi pihak suami.

Pada 26 Jun lalu, kemelut yang melanda mereka masih belum menemui jalan penyelesaian walaupun perbincangan melalui Jawatankuasa Pendamai (JKP) diadakan pada 26 Mei lepas.

Dalam hasil perbincangan JKP, Nurul Izzah, 34, masih ingin meneruskan perceraian kerana tiada persefahaman, bagaimanapun suaminya tetap tidak bersetuju (untuk bercerai).

Nurul Izzah, anak sulung ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, memfailkan permohonan cerai itu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, pada awal Januari.

Seksyen itu menyentuh pembubaran perkahwinan yang memperuntukkan perceraian dengan talak atau dengan perintah mahkamah.

Nurul Izzah dan Raja Ahmad Shahrir Iskandar berkahwin pada 9 Mei 2003 dan dikurniakan seorang anak perempuan berumur tujuh tahun dan seorang anak lelaki berusia empat tahun. - Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SEGAMAT - Tindakan polis menyoal siasat isteri bekas perdana menteri, Tun Dr Siti Hasmah Ali berkaitan penyertaan beliau dalam perhimpunan ‘Wanita Bantah Politik Toksik’ di Kuala Lumpur, September lalu, disifatkan siasatan terpilih dan tidak adil.
  • KUALA LUMPUR - Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menganggap tindakan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bertemu dengan anak perempuan kepada Jamalul Kiram lll iaitu Jacel Kiram merupakan penderhakaan kepada negara.
  • KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyifatkan perbuatan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berjumpa Jacel Kiram, anak perempuan Jamalul Kiram III, adalah satu pengkhianatan kerana wanita itu dianggap musuh negara.
  • PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan dikemukakan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) dan Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Mohamad Salleh berhubung saman fitnah mereka terhadap Nurul Izzah Anwar dan PKR berkaitan kenyataan pembelian lapan unit hartanah di KL Eco City.
  • SHAH ALAM - Kisah lima sekeluarga yang dijatuhkan hukuman oleh mahkamah kerana mencuri barangan kosmetik bernilai RM2,000 mendapat perhatian Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.