ALOR GAJAH - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui Jawatankuasa Pelesenan Institusi Memandu (JKPIM) akan sentiasa memantau isu harga lesen memandu yang ditetapkan institut memandu di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPJ Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata institut memandu yang dikesan mengenakan harga tidak munasabah boleh diambil tindakan termasuk menghentikan operasi institusi berkenaan.

Beliau berkata, harga siling bagi mendapatkan lesen memandu di negara ini telah ditetapkan dan perbezaan atau harga yang lebih tinggi daripada yang ditetapkan, mungkin disebabkan beberapa caj tambahan yang dikenakan institusi terbabit.

“Harga siling untuk mendapatkan lesen motosikal B2 adalah RM350 manakala B pula RM900. Harga lesen bagi kereta transmisi manual (D) adalah RM1,150 sementara bagi kereta transmisi automatik (DA) adalah RM1,250.

Institusi Memandu tidak boleh mengenakan harga lesen yang lebih daripada yang ditetapkan tetapi berdasarkan pemantauan yang dilakukan harga yang tinggi disebabkan caj tambahan yang dikenakan institusi berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) di Rembia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media semalam mengenai harga lesen memandu di negara ini yang semakin membebankan.

Majlis berkenaan dirasmikan Ahli Parlimen Alor Gajah Koh Nai Kwong dan turut dihadiri Anggota Dewan Undangan Negeri Rembia Datuk Norpipah Abdol dan Pengarah JPJ Melaka Muhammad Firdaus Shariff.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Uzir berkata kebiasaannya caj tambahan dikenakan apabila institusi memandu perlu mengambil dan menghantar pelajar ke sesuatu destinasi dan sebarang caj tambahan perlu diperincikan pihak institusi berkenaan.

Beliau berkata pelanggan berhak untuk membuat aduan sekiranya caj tambahan yang dikenakan tidak relevan atau diselindungi.

Dalam perkembangan lain, sebanyak 452,166 kesalahan memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat di bawah Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) direkodkan dalam tempoh 15 April 2017 hingga 7 Januari lepas.

Wan Ahmad Uzir berkata kesedaran pengguna jalan raya terhadap dua kesalahan berkenaan yang direkodkan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) masih rendah.

“Tujuan utama kita melaksanakan Awas adalah untuk meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati dalam pemanduan mereka, tidak melanggar kesalahan jalan raya dan mengurangkan kadar kemalangan...bukan hanya untuk menghukum mereka semata-mata,” katanya.

Terdahulu, pada program berkenaan 221 peserta termasuk 12 Orang Asli dari daerah Alor Gajah mendapat lesen motosikal B2 menerusi program SKSJ.

Melalui program berkenaan warganegara Malaysia yang berusia 45 tahun ke atas dan Orang Asli berusia 21 tahun ke atas diberi peluang mendapatkan lesen B2 pada harga serendah RM180 berbanding harga yang ditetapkan institusi memandu. – Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - "Tiada lesen memandu merupakan kesalahan utama dilakukan pengguna jalan raya yang dikesan sepanjang Ops Tahun Baharu Cina 2018," kata Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman.
  • KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan dakwaan penguatkuasanya mengarahkan beberapa pemandu lori menanggalkan pakaian seperti yang tular di laman sosial.
  • PUTRAJAYA - Sebarang ugutan dan ancaman tidak akan melemahkan serta melunturkan semangat pegawai dan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan tugas-tugas penguatkuasaan dan siasatan, kata ketua Pengarahnya, Datuk Seri Shaharuddin Khalid.
  • KUALA LUMPUR - Sebanyak 21,613 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas pelbagai kesalahan dalam Ops Patuh yang dijalankan di seluruh negara bagi tempoh Januari sehingga 30 Disember 2017.