AKTIVITI mendaki kini semakin mendapat tempat di hati masyarakat.

Selain dapat menikmati pemandangan yang indah, ia juga mampu mengekalkan gaya hidup sihat.

Atas sebab itu, cuti umum bersempena dengan Sambutan Maulidur Rasul baru-baru-ini dimanfaatkan sepenuhnya.

Setelah berbincang, Team Busut memutuskan untuk mendaki Bukit Berekeh yang terletak di Sungai Siput, Perak.

Meskipun bukit yang berketinggian 454m ini terlalu padat dengan pengunjung setiap hujung minggu, namun demi panorama indah sewaktu matahari terbit sudah cukup membuatkan kami semua teruja.

Perjalanan pada malam Isnin itu berjalan lancar dan kami menjadikan hentian Simpang Pulai sebagai tempat untuk berkumpul.

Setelah semua tiba, tepat jam 2 pagi kami seramai 9 orang segera bergerak ke Kampung Bawong.

Ini kerana kami berhasrat untuk memulakan pendakian seawal pagi bagi mengelakkan cuaca panas.

Tambahan pula puncak Bukit Berekeh boleh di ibaratkan umpama berada di kawasan savana.

Selain tumbuhan renek dan rumput perang, tiada sebarang pokok besar untuk dijadikan sebagai tempat untuk berteduh.

Malah pernah di laporkan terjadi kejadian ‘strok haba’ yang menimpa beberapa orang pendaki sebelum ini ekoran dari cuaca yang terik.

Tidak cukup dengan itu, bukit yang di turut dikenali dengan panggilan Bukit Botak ini pernah di laporkan terbakar kerana suhu yang melampau.

Membantu pendaki pengsan

Setelah menguruskan segala kelengkapan yang perlu di bawa, kami mula berjalan ke kaki bukit.

Dengan hanya berpandukan lampu kepala kami meredah kebun kelapa sawit milik penduduk kampung.

Perjalanan kami menjadi mudah, kerana di sepanjang laluan terdapat banyak penanda yang di tinggalkan.

Namun sebelum tiba di puncak bukit yang pertama, kami terlihat sekumpulan remaja sedang duduk di tepi laluan.

Mulanya kami menyangkakan mereka sedang berehat kerana kepenatan.

Namun apabila ditanya, rupanya mereka sedang memberikan bantuan kepada rakan yang pengsan.

Kasihan dengan kejadian yang menimpa ahli Team Busut, Noorlela Ramli dan Norsafarina Muhamad Nasir segera memberikan bantuan kecemasan.

Tak ubah seperti kumpulan jururawat yang bertugas di wad kecemasan, Norsafarina memberikan arahan agar mengangkat mangsa untuk membetulkan kedudukan postur badannya.

Manakala Noorlela membalutkan badan mangsa dengan selimut kerana cuaca pada ketika itu agak sejuk.

Minyak angin turut di sapu di bahagian sendi mangsa bagi mengelakkan kejang otot.

Namun setelah memberikan bantuan setakat yang termampu, keadaan mangsa masih tidak menunjukkan sebarang tanda akan pulih.

Menurut Norsafarina mangsa kemungkinan menghadapi masalah tekanan darah rendah disebabkan keadaan mukanya yang pucat.

Norlela kemudiannya meminta agar mangsa di bawa ke hospital yang berhampiran untuk mendapatkan bantuan yang selanjutnya.

Setelah selesai, kami meneruskan perjalanan, ketika tiba di puncak bukit yang pertama kami berjumpa dengan kumpulan pendaki lain yang sedang berehat.

Mereka rupanya satu kumpulan dengan mangsa yang pengsan tadi.

Setelah menceritakan mengenai keadaan rakannya, setengah daripada mereka mengambil keputusan untuk berpatah balik.

Manakala yang setengah lagi membuat keputusan untuk meneruskan pendakian.

Hasil perbualan kami turut di maklumkan, kumpulan remaja itu merupakan penuntut di salah sebuah kolej swasta yang berhampiran.

Setelah berehat buat seketika, kami meneruskan perjalanan ke puncak bukit yang kedua, Bukit Berekeh.

Saat tiba, sayup-sayup kedengaran laungan azan menandakan telah masuk waktu solat Subuh.

Kami mengambil keputusan untuk berhenti dahulu untuk membolehkan rakan-rakan yang lain menunaikan solat.

Seusia menunaikan tanggungjawab kepada yang Esa, perjalanan diteruskan hingga ke puncak yang kelima.

Berselawat di puncak Bukit Berekeh

Ibarat berada di pasaraya, itulah antara yang terdetik di hati kami saat tiba di puncak Bukit Berekeh.

Ada yang sedang tidur sementara menanti hari siang, ada yang sedang menyiapkan sarapan pagi. Malah ada juga yang sedang asyik melayan perasaan.

Saat sang suria mula menampakan wajahnya, masing-masing begitu leka merakamkan gambar dari pelbagai sudut. Penuh dengan gaya dan ragam.

Bukit Berekeh

Menariknya di sini, terdapat dua ‘ketupat besi’ (struktur binaan besi yang di kenali sebagai stesen trigonometri).

Paling unik, kedua-dua struktur ini berbeza dari segi bentuk dan saiz. Tidak dapat dipastikan mengapa terdapat dua struktur binaan ini di puncak Bukit Berekeh.

Sepanjang penjelajahan Team Busut memburu ketupat besi, ia merupakan pengalaman pertama kami melihat dua struktur binaan ini di puncak yang sama.

Kami tidak mengambil masa yang lama  berada di puncak. Selain penuh dengan pendaki yang lain, masih ada dua destinasi lagi yang ingin kami tuju.

Ketika dalam perjalanan turun, Radhiah  Mohd Rasid mencadangkan agar kami berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Ibarat kumpulan nasyid sekolah, masing-masing kelihatan begitu bersemangat mengalunkan kalimah selawat.

Air terjun Lata Penyell

Sejurus tiba di kawasan parkir kereta, kami meneruskan perjalanan ke air terjun Lata Penyell yang terletak di Kampung Pendeq (salah satu perkampungan orang asli suku Temiar).

Perjalanan dari Bukit Berekeh ke air terjun ini mengambil masa sekitar 30 minit.

Aku bagaimanapun mengambil keputusan untuk berehat di kereta kerana letih setelah seharian memandu dari Kuala Lumpur.

Air terjun Lata Penyell

Bayaran sebanyak RM10 di kenakan kepada pengunjung yang menaiki kereta.

Manakala RM5 dikenakan kepada penunggang motosikal sebagai bayaran untuk parkir dan menyelenggara kawasan tersebut.

Selepas melelapkan mata buat seketika, aku dipelawa oleh orang asli yang menjaga kawasan tersebut untuk duduk berehat di bawah pondok.

Dia yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Tampang, 28, berkata, kawasan tersebut diuruskan belia Orang Asli setelah diberikan perkenan Tok Batin Kampung Pendeq.

Menurutnya kawasan ini dahulunya merupakan penempatan untuk beberapa keluarga orang asli.

Namun setelah keluarga itu berpindah ke tempat lain, ia mula dibuka untuk orang lain.

Menurutnya lagi, sejak keindahan tempat ini viral di media sosial tidak lama dahulu, semakin ramai yang mula berkunjung ke kawasan air terjun Lata Penyell.

Jangan sampai harimau mengamuk

Atas sebab itu juga, masyarakat orang asli di Pos Kuala Mu dan Yum membantah sebarang bentuk pembalakan haram demi menjaga dan memastikan khazanah alam terus terpelihara.

“Kami sebelum ini hampir bergaduh dengan kontraktor pemaju sebab membantah tindakan mereka yang ingin meletupkan bongkah batu besar di hujung hutan sana.

“Kawasan batu itu merupakan antara tempat persinggahan seekor harimau belang jantan.

“Tiap tahun ‘dia’ mesti datang ke kawasan batu itu, jadi kami takut kalau batu itu diletupkan harimau tersebut akan mengamuk dan orang kampung jadi mangsa,” jelasnya ketika menceritakan kejadian itu.

Menurut Tampang lagi, di kawasan hutan ini juga merupakan habitat gajah liar.

Oleh itu dia amat berharap agar kerajaan memantau sebarang bentuk pembalakan haram bagi menjaga kelestarian hutan di kawasan itu.

Selesai berehat dan membersihkan badan di Lata Penyell, kami segera menuju ke Selama.

Menjejak ketupat besi di Selama

Destinasi seterusnya ialah menjejak ketupat besi yang terdapat di puncak Bukit Palong Tinggi.

Kehadiran kami di sambut oleh Paksu Ki dan Paklong Anuar yang bertindak sebagai penunjuk jalan.

Mereka merupakan penduduk kampung yang secara kebetulan berjumpa dengan struktur ketupat besi di Bukit Palong Tinggi beberapa tahun yang lalu.

Paling menarik misi kami pada petang itu turut disertai oleh anak-anak Paksu Ki seramai empat orang.

Mereka nyata begitu teruja untuk menerokai keindahan hutan buat kali pertama.

Paklong Anuar bertindak sebagai orang yang paling hadapan, manakala Paksu Ki bertanggungjawab sebagai ‘sweaper’ (orang paling akhir dalam kumpulan).

Sebaik memulakan pendakian, hujan mula turun dengan lebatnya.

Ekoran tanah merah yang licin, perjalanan kami agak santai, tambahan pula terdapat pendaki cilik yang turut bersama kami.

Ternyata anak-anak Paksu Ki mempunyai semangat yang kental.

Malah langsung tidak kedengaran mereka mengeluh kepenatan di sepanjang perjalanan.

Walaupun ada kalanya trek yang kami lalui agak menengak dan terpaksa berpaut mengunakan akar pokok, mereka tetap tabah meneruskan perjalanan.

Menariknya pendaki cilik, Syahir yang baru berusia lima tahun itu di lihat begitu bijak membaca laluan yang sesuai untuk dilalui.

Sekitar 1 jam mendaki, kami akhirnya tiba di puncak Bukit Palong.

Masing-masing hanya mampu tersenyum kepuasan saat melihat struktur ketupat besi masih kukuh berdiri.

Penat mendaki sebentar tadi seolah hilang, entah kemana. Pemandangan agak berkabus di tambah dengan cuaca sejuk selepas hujan seolah melengkapkan misi kami pada petang itu.

Irama selawat ke atas Nabi Muhammad SAW sekali lagi di alunkan sebagai tanda kesyukuran atas kejayaan melaksanakan misi menjejak ketupat besi.

Apa yang pasti, pengalaman pada hari ini membuatkan Team Busut lebih teruja untuk terus meneroka dan memburu ketupat besi di gunung mahupun bukit yang mempunyai reputasi lebih mencabar.