KUALA LUMPUR - Butiran mengenai inisiatif subsidi petrol bersasar sedang diperincikan kerajaan tetapi mekanisme pelaksanaannya dikatakan terikat kepada pengunaan kad pengenalan MyKad individu.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, bagi melaksanakan subsidi petrol itu, beberapa perkara perlu dipertimbangkan dengan terperinci khususnya mekanisme bagi melaksanakan pemberian subsidi itu.

Beliau berkata dalam manifesto Pilihan Raya Umum 2018, Pakatan Harapan berjanji untuk menyediakan subsidi petrol dengan MyKad digunakan sebagai mekanisme untuk mengagihkan subsidi itu kepada kumpulan sasaran.

Katanya penggunaan kad pengenalan itu wajar dilakukan kerana kajian akademik menunjukkan MyKad, yang diperkenalkan pada 2011, masih belum mencapai potensi penggunaan sepenuhnya.

"Oleh itu, perlu ada mekanisme yang jelas ... sebagai contoh, stesen petrol boleh menggunakan peranti tertentu untuk membolehkan mereka mengesan tahap pendapatan pelanggan dan kelayakan mereka untuk subsidi," katanya kepada Bernama.

Subsidi petrol bersasar itu, yang akan dilaksanakan pada suku kedua 2019, adalah antara langkah-langkah yang digariskan dalam Belanjawan 2019 bagi mengurangkan kos sara hidup untuk 40 peratus isi rumah B40 yang menerima pendapatan bulanan di bawah RM3,860.

‘Food Stamps’

Mohd Afzanizam berkata dalam membangunkan mekanisme subsidi petrol, perhatian perlu diberikan kepada faktor capaian terutamanya di kawasan luar bandar agar subsidi tersebut sampai kepada golongan sasaran.

“Ini perlu kerana kita tidak mahu subsidi itu diterima mereka yang tidak layak seperti pelancong asing yang memandu masuk ke kawasan pedalaman atau kampung,” katanya.

Subsidi petrol bersasar diberikan kepada pemilik kereta dengan kapasiti 1,500cc dan ke bawah serta pemilik motosikal 125cc dan ke bawah. Kerajaan juga akan memberi subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter bagi motosikal.

Langkah lain yang diumumkan dalam Bajet 2019 untuk melegakan beban kewangan isi rumah B40 ialah Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM500 hingga RM1,000 bagi isi rumah yang berpendapatan antara RM2,000 dan RM4,000 sebulan; peningkatan subsidi elektrik isi rumah dari RM20 ke bawah kepada RM40 dan ke bawah; serta pas bulanan RM100 tanpa had perjalanan meliputi perkhidmatan rel dan bas RapidKL mulai 1 Januari depan.

Mohd Afzanizam juga berkata kerajaan perlu memperluaskan program subsidinya kepada keperluan lain seperti makanan.

“Mungkin program ‘food stamps’ boleh diperkenalkan bagi memastikan golongan B40 mendapat keperluan makanan bernutrisi pada kadar subsidi yang sesuai.

“MyKad boleh digunakan bagi mengenal pasti hanya mereka yang layak sahaja yang boleh menerima bantuan ini,” katanya.

Berbelanja Untuk Keperluan Sahaja

Pengerusi Pusat Pembangunan Inklusif dan Lestari, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia Profesor Madya Dr Mohd Azlan Shah Zaidi berkata berdasarkan Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah 2016 oleh Jabatan Perangkaan dan kiraan Unit Perancang Ekonomi (EPU), hanya 1 peratus sahaja daripada golongan B40 terdiri daripada isi rumah miskin yang mempunyai pendapatan kurang daripada pendapatan garis kemiskinan iaitu RM980.

Oleh itu, inisiatif seperti BSH, subsidi elektrik, subsidi minyak, kemudahan pinjaman untuk pembelian rumah, bantuan perlindungan kesihatan takaful dan insurans, pas bulanan rel dan RapidKL boleh membantu mengurangkan perbelanjaan isi rumah terhadap komponen utama berkenaan dan meningkatkan pendapatan boleh guna mereka.

“Namun, isi rumah B40 juga harus memainkan peranan mereka iaitu tidak berbelanja pada barang bukan keperluan (barangan mengikut kehendak). Mereka harus pandai dalam pengurusan kewangan mereka.

“Kajian mendapati kebanyakan isi rumah B40 adalah isi rumah yang tidak mempunyai tabungan, dan jika ada, mungkin tabungan tidak mencukupi.  Untuk peningkatan kualiti hidup yang berterusan, perubahan sikap dan pembangunan diri perlu dititikberatkan… janganlah mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata,” katanya.

Wajarkah Subsidi Bersasar?

Secara teori, subsidi membawa ketakcekapan dalam pasaran. Namun, secara realiti dan dalam konteks peranan campur tangan kerajaan, subsidi diperlukan untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik.

Mohd Azlan berkata secara asasnya, subsidi bersasar adalah lebih baik kerana individu dengan kelayakan tertentu sahaja yang akan menerimanya.

Namun persoalan yang sering timbul ialah cara pelaksanaannya.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna perlu menyediakan mekanisme yang cekap bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program subsidi itu.

“Pastikan tiada ketirisan,” katanya sambil memberitahu ada beberapa perkara perlu dilihat untuk melaksanakan subsidi bersasar ini.

“Pertama, pelaksanaannya tidak melibatkan kos urus niaga yang tinggi iaitu kos untuk memulakan subsidi seperti penyediaan kad, kupon atau mekanisme lain.

“Kedua, ia tidak mengganggu kecekapan pasaran urus niaga sedia ada. Selain itu, kerajaan perlu memastikan tiada pihak yang boleh mengaut keuntungan besar dengan memanipulasi pasaran berikutan pelaksanaan tersebut.

Mohd Azlan juga meminta kerajaan mengenal pasti penerima subsidi petrol yang layak termasuk dengan menyemak di Jabatan Pengangkutan Jalan.

Beliau menyarankan supaya ia dilaksanakan dengan cara mengkreditkan ke dalam akaun penerima subsidi petrol sebanyak RM360 (100 liter x RM0.30 x 12 bulan) untuk pemilik kereta atau RM144 (40 liter x RM0.30 x 12 bulan) untuk pemilik motosikal.

“Mengikut kajian, penggunaan petrol sebulan adalah lebih daripada 100 liter bagi kereta. Jika jumlah kereta adalah 4 juta dan motosikal pula 2.6 juta (yang layak menerima subsidi petrol), kerajaan berbelanja hanya RM1.81 bilion dan peruntukan RM2 bilion itu masih berbaki,” katanya.

Kurangkan Kos Pengangkutan

Sementara itu, pembantu di sebuah klinik, Mazlah Nordin, 52, berpendapat bantuan itu terutamanya subsidi petrol akan mengurangkan kos pengangkutan golongan sepertinya yang bergerak menggunakan motosikal.

“Dengan gaji yang ada, sebenarnya kami sekeluarga masih boleh meneruskan kehidupan walaupun secara sederhana. Apabila subsidi petrol dilaksanakan, diharapkan kos pengangkutan yang perlu ditanggung kami dapat dikurangkan, dan wang yang ada boleh digunakan untuk keperluan lain,” katanya.

Ibu kepada dua anak yang menuntut di institut pengajian tinggi itu turut mengambil tempahan membuat kuih-muih bagi menampung perbelanjaan harian keluarga.

Mazlah berkata penerima bantuan itu juga perlu berusaha mencari pendapatan lain bagi menampung keperluan harian.

Hasbullah Hasim, 37, yang mengusahakan sebuah kedai runcit pula berpendapat pengenalan subsidi petrol bersasar kepada pemilik kereta berkapasiti 1,300cc  dan ke bawah serta pemilik motosikal 125cc dan ke bawah sangat diperlukan kerana kebanyakan pemilik kenderaan itu terdiri daripada kalangan B40 dan tinggal di bandar.

“Bagaimana cara pelaksanaannya, kita belum tahu lagi. Saya harap ia dilaksanakan dengan cekap supaya tidak timbul isu subsidi itu diberi kepada mereka yang tidak layak,” katanya. - Bernama