BELIAU terkenal dengan panggilan Raja Teromba malah aktif dalam memberi sumbangan khususnya dalam adat perpatih.

Prof Madya Datuk Paduka Dr Mohd Rosli Saludin merupakan anak jati Kampung Dioh, Kuala Pilah, baru-baru ini diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan bagi kategori Orang Hidup.

Katanya, beliau tidak akan berhenti berkarya dalam bidang tersebut dalam membentuk generasi pelapis khususnya dalam teromba, adat dan warisan.

"Bagi saya usaha ini bukannya sehari dua malahan merupakan amanah berat yang harus saya pikul untuk meneruskan sumbangan yang terbaik khususnya dalam adat perpatih.

"Seni teromba sentiasa saya promosikan dari kampung ke kampung juga masyarakat setempat kerana seni ini tidak pupus," katanya.

Menurutnya, perancangannya selepas ini mahu bergerak lebih aktif dan agresif khususnya memberi pendedahan dan kefahaman dalam teromba, adat dan warisan kepada pelajar sekolah.

Rosli berjalan manakala isterinya diarak dengan menaiki tandu sambil diiringi Tan Sri Rais Yatim.

Pegang teguh adat perpatih

Mohd Rosli yang merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik berkata, beliau dibesarkan dalam masyarakat sekeliling yang berpegang teguh kepada adat perpatih.

"Jadi adat ini tidak asing bagi saya sejak kecil dan menjadikan saya lebih berminat dengannya," katanya.

Sebagai rekod, beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kuala Pilah B dan A, beliau menyambung pendidikan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Zaaba sehingga tingkatan enam atas.

Seterusnya, menyambung pendidikan di Maktab Perguruan Kinta di Ipoh, Perak kemudian melanjutkan pengajian dalam bidang sejarah dan pengajian Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau yang kini menjawat jawatan sebagai Pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) juga merupakan tokoh utama bagi sesiapa yang ingin membuat kajian berhubung adat istiadat Melayu lama, sejarah dan warisan serta teromba.

Tambahnya, seni teromba adalah sejenis puisi tradisional Melayu yang merangkumi peraturan serta undang-undang kehidupan.

"Di sini (Negeri Sembilan) seni itu dipersembahkan untuk menyampaikan maksud atau perkara yang terkandung dalam adat perpatih.

"Namun, seni ini dilihat semakin dilupai terutama generasi muda dan mungkin juga di kalangan orang lama," katanya.