PENANGAN reka bentuk corak pada badan Motosikal GP membuatkan hati seorang guru di Sekolah Menengah Sains Machang, Nurzamani Na’ain menjadi tidak keruan.

Semuanya, gara-gara jatuh cinta dengan susun atur yang dibuat oleh pereka grafik setiap pasukan bertanding di kejohanan paling berprestij dalam sukan permotoran dunia.

Bagi mengubat rasa tidak menentu itu, Nurzamani mengambil keputusan untuk membelanjakan sedikit gajinya bagi membeli replika Motosikal GP.

Nurzamani bersama koleksi Motosikal GP dan kereta yang dipamerkan semasa terlibat dengan FB Live Sinar Harian.

Biarpun tampak seolah-olah pembaziran oleh orang lain, Nurzamani berkata ia merupakan satu kepuasan yang tidak terhitung nilai buatnya.

Katanya, corak unik dan menarik pada badan Motosikal GP itu menjadi ‘ubat penenang’ kepadanya dalam meredakan tekanan setelah penat bekerja.

“Sehingga kini saya mempunyai lebih 100 koleksi replika Motosikal GP dari pelbagai pasukan yang bertanding dalam kejohanan tersebut.

“Kesemua ini saya kumpul sudah lebih 21 tahun termasuklah replika kereta dan pesawat,” katanya.

Nurzamani mendedahkan, minat terhadap dunia pemotoran bermula sejak di bangku sekolah lagi.

Katanya, sebagai permulaan dia mengumpulkan kalendar yang mempunyai gambar Motosikal GP.

“Setiap kali dapat kalendar, saya akan meminta ayah supaya menyimpannya bagi membolehkan ia dijadikan sebagai koleksi peribadi,” katanya.

Nurzamani berkata, minat tersebut semakin bercambah ketika melanjutkan pengajian di universiti dengan mengumpul replika Motosikal GP yang dibeli di pasar raya.

Nurzamani juga minat merakam gambar koleksi milik dan sentiasa membawanya bersama ke mana sahaja.

Katanya, sebaik sahaja melangkah masuk ke alam pekerjaan dia tidak menoleh ke belakang dan menjadikan perkara itu sebagai satu hobi yang serius.

“Saya cukup beruntung apabila mendapat sokongan daripada isteri.

“Sebagai tanda sokongan, dia telah menempah sebuah almari kabinet bagi memudahkan saya menyimpan semua koleksi Motosikal GP,” katanya.

Sehingga kini Nurzamani mempunyai lebih 100 koleksi replika Motosikal GP dari pelbagai pasukan yang bertanding dalam kejohanan tersebut.