BUKIT Ganding yang terletak di Selama, Perak mungkin satu nama yang agak asing bagi para pendaki.

Ini kerana ia tidak menjanjikan pemandangan yang indah seperti puncak gunung atau bukit yang lain.

Namun bagi pemburu ketupat besi atau ‘bay-route’ (struktur berbentuk segi tiga yang dibuat daripada besi), soal pemandangan atau ketinggian sesuatu puncak itu bukanlah faktor utama.

Apa yang penting adalah menjejak struktur binaan besi ‘bay-route’ yang merupakan sebahagian daripada tinggalan sejarah ketika negara di jajah oleh Britisih suatu ketika dahulu.

Atas sebab itu juga Team Busut menganjurkan misi merintis dan menjejak ‘ketupat besi di Bukit Ganding yang turut dikenali sebagai Bukit Padang Komunis oleh penduduk tempatan.

Menurut cerita orang kampung, penganas komunis pernah menjadikan kawasan bukit itu sebagai markas dan tempat persembunyian bagi mengelakkan dari di tangkap polis dan tentera.

Kenapa Padang Komunis

Disebabkan itu, penduduk kampung mengelarkan bukit tersebut sebagai ‘Padang Komunis’ sebagai memperingati detik sejarah hitam yang pernah melanda suatu ketika dahulu.

Malah mengikut rekod, kawasan di sekitar Selama suatu ketika dahulu, pernah tersenarai sebagai antara ‘kawasan hitam’ komunis di Malaysia.

Walaupun tidak menjanjikan pemandangan ‘awan karpet’ atau hutan berlumut yang lebih dikenali sebagai Mossy Forest seperti yang terdapat di Gunung Irau.

Namun Bukit Ganding tetap mempunyai keistimewaan yang keunikkan yang tersendiri.

Batu menyanyi

Ini kerana sebelum tiba di puncak bukit tersebut terdapat satu kawasan yang dikenali sebagai ‘batu menyanyi’.

Menurut penduduk kampung yang sering mencari rotan di hutan tersebut, di celah batu-batu besar yang bertimbun di kawasan itu terdapat satu laluan angin.

Ketika musim kemarau, mereka yang bernasib baik akan dapat menikmati irama unik angin yang masuk melalui celahan batu tersebut. Paling menarik, irama tersebut akan mengeluarkan bunyi seakan-akan sedang menyanyi.

Mereka yang tidak mengetahui kisah ini pasti akan merasa takut dan pelik. Namun bagi penduduk kampung fenomena tersebut adalah merupakan antara keindahan alam semulajadi yang mungkin tidak terdapat di tempat lain.

Bagaimanapun hajat Team Busut untuk mendengar sendiri ‘alunan irama’ di kawasan batu tersebut tidak kesampaian kerana kesuntukkan masa dan faktor cuaca yang tidak mengizinkan.

Kenderaan dinaiki terbabas

Walaupun pada awalnya misi kami disertai seramai 8 orang pendaki.

Namun 2 orang terpaksa menarik diri dan berehat di kawasan perkhemahan kerana terlibat dengan kemalangan ketika dalam perjalanan menuju ke tapak perkhemahan.

Kenderaan yang mereka naiki terbabas  ke dalam parit kerana mengelakkan babi liar yang secara tiba-tiba meluru keluar dari kawasan hutan.

Di sebabkan kemalangan itu juga, kami hampir sahaja membatalkan misi pendakian pada hari tersebut.

Namun setelah mengadakan perbincangan Penyelaras Program, Juhaini Abdul Rahman memutuskan untuk meneruskan misi yang telah dirancang sejak dua bulan lalu itu.

Berbalik kepada misi menjejak ketupat besi, disebabkan kemalangan tersebut kami bermula agak lewat sekitar jam 3 petang.

Pendakian pada peringkat awal tidak begitu mencabar, ini kerana laluan yang agak landai merentasi kebun getah penduduk kampung.

Sebaik melepasi kebun getah, kami terpaksa berdepan dengan laluan balak lama.

Menangkap biawak

Disebabkan hujan yang agak lebat, laluan tersebut agak licin sehingga menyebabkan ada dikalangan kami yang terjatuh atau dalam istilah pendaki ‘menangkap biawak’.

Cabaran bermula sebaik sahaja melepasi laluan balak tersebut.

Disebabkan trek yang kami gunakan jarang di lalui, masa dan tenaga banyak dihabiskan untuk menebas pokok bertam dan resam bagi membuka laluan.

Selain melalui laluan yang agak pacak, kami turut berdepan dengan serangan pacat yang bertali arus.

Semakin di buang semakin banyak yang datang, sampaikan ada di kalangan kami yang  terpaksa pasrah dengan kehadiran makhluk penghisap darah itu.

Malah kami turut beberapa kali bertembung dengan kumpulan babi hutan yang leka berkubang di beberapa kawasan sepanjang laluan. Namun, alhamdulillah tiada sebarang kejadian yang tidak diinggini berlaku.

Misi berjaya

Secara keseluruhan, kami mengambil masa sekitar tiga jam untuk menawan puncak Bukit Ganding pada ketinggian 718 meter itu.

Segala penat lelah seakan hilang saat melihat struktur bay-route yang sedikit bengkok, kerana dihempap pokok tumbang.

Seusai membersihkan kawasan bay-route yang ditumbuhi semak, plat Busut Hikers dipasang sebagai tanda kenangan.

Di sebabkan pada petang itu hujan agak lebat, kami mengambil keputusan itu tidak berehat lama di puncak.

Tambahan pula waktu sudah menghampiri Mahgrib, jadi untuk mengelakkan laluan menjadi gelap kami segera turun ke kaki bukit.

Di sebabkan laluan telah kami rintis sebelum ini, perjalanan turun ke pintu rimba menjadi agak mudah lancar. Semua berjaya tiba di kaki bukit dengan selamat sekitar jam 8 malam.

Sedikit hampa kerana tidak dapat mendengar alunan ‘batu menyanyi’ namun kami puas kerana berjaya menjejaki ketupat besi tinggalan sejarah penjajah British.

Apa yang pasti, Bukit Ganding atau Padang Komunis turut menawarkan keindahan flora dan fauna yang begitu mengasyikkan.