SIAPA sangka hasrat ‘mendaki untuk kesihatan’ yang diwujudkan Kumpulan Pendaki Busut atau singkatannya Team Busut suatu ketika dahulu, kini bertukar menjadi misi mengejar ‘bay-route’ (struktur berbentuk segi tiga yang dibuat daripada besi).

Hampir setiap hujung minggu ada sahaja puncak gunung atau bukit yang akan ditawan demi memenuhi hobi memburu besi ‘bay-route’ atau panggilan manja yang kami berikan ‘ketupat besi’.

Ini disebakan struktur atasnya yang berbentuk seperi bintang dan mirip ketupat.

Malah dek kerana hobi baharu ini, kami turut melakukan sedikit kajian ringkas berhubung kewujudan ketupat besi ini.

Dapatan yang diperolehi menunjukkan struktur ini merupakan sebahagian daripada tinggalan sejarah ketika negara di jajah oleh Britisih suatu ketika dahulu.

Ada yang mendakwa binaan ketupat besi ini sebagai penanda puncak tertinggi, malah ada juga yang mendakwa ia digunakan bagi mengukur sudut dan arah sesuatu kawasan.

Selain itu struktur ini juga dikatakan untuk memudahkan pesawat ringan mengetahui lokasi sesuatu tempat.

Paling menarik proses pembuatan besi bay-route ini dipercayai di buat oleh sebuah kilang besi yang berpengkalan di Scotland.

Ia berdasarkan cop logo Lanarkshire Steel Co Ltd yang terdapat di binaan kaki besi bay-route yang kami temui.

Carian di internet juga mendapati, selain memproses dan menghasil pengeluaran besi secara besar-besaran, kilang yang di daftarkan pada tahun 1889 itu turut dimiliki oleh salah sebuah syarikat British.

Sebaik di proses ke semua struktur binaan bay-route itu akan di pasang siap terlebih sebelum di hantar ke Malaya dengan mengunakan kapal laut.

Struktur binaan tersebut kemudiannya akan di pikul dengan mengunakan tenaga manusia ke setiap puncak gunung dan bukit tanpa dipisahkan struktur besinya sebelum di pasang.

Sukar untuk di bayangkan bagaimana struktur binaan yang besar dan berat itu di pikul hingga ke puncak yang tinggi.

Dalam keadaan hutan yang masih tebal dan dara, di tambah dengan kehadiran binatang buas sudah pasti ia bukanlah satu kerja yang mudah.

Ada yang mendakwa kerajaan British ketika itu mungkin mengunakan pesawat pengangkut untuk membawa struktur besi itu ke puncak, namun pandangan tersebut agak sukar di terima kerana ia sudah pasti melibatkan kos yang sangat besar.

Tambahan pula pesawat yang di gunakan bakal berdepan dengan risiko terhempas saat untuk menurunkan struktur binaan tersebut, disebabkan saiznya yang besar.

Istimewanya ‘ketupat besi’ ini, pemerintah British di katakan hanya memasang bay-route di Tanah Melayu dan kepulauan Borneo, tidak negara-negara lain yang pernah dijajah pada ketika itu.

Pada awalnya kami menyangka, ‘ketupat besi’ ini hanya berbentuk tiga segi. Namun setelah menawan beberapa puncak gunung dan bukit, kami dapati bay-route ini mempunyai pelbagai saiz dan rekabentuk.

Ada yang mempunyai struktur empat segi, ada bersaiz besar dan kecil malah ada yang bentuk seperti kon dan sebagainya.

Sehingga kini, Team Busut telah berjaya menawan hampir 120 puncak gunung dan bukit.

Namun tidak semua puncak yang masih mempunyai struktur bay-route. Ada yang masih utuh berdiri hingga kini, ada juga yang telah rebah menyembah bumi kerana dihempap pokok atau dilanggar oleh gajah liar.

Tidak kurang, ada juga yang telah reput di mamah usia dan tidak ketinggalan yang telah dimusnahkan atas pelbagai sebab.

Apa yang pasti Team Busut akan meneruskan misi menjejak tinggalan sejarah ini sebagai sebahagian hobi dan aktiviti mengisi masa lapang ketika cuti hujung minggu.