ALOR SETAR - Istiadat Pertabalan Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah sebagai Sultan Kedah Ke-29, yang akan berlangsung esok, bakal menyingkap kembali kemasyhuran zaman Kesultanan Melayu Kedah.

Rakyat negeri ini semestinya ternanti-nantikan istiadat itu kerana kali terakhir istiadat seumpamanya diadakan adalah 59 tahun lalu ketika pertabalan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Sultan Kedah Ke-28. Baginda mangkat pada 11 September 2017.

Balairung Seri Istana Anak Bukit di sini bakal melakarkan sejarah apabila istiadat pertabalan Sultan Kedah diadakan buat pertama kalinya di balairung itu. Sebelum ini, istiadat berkenaan diadakan di Balai Besar, Istana Alor Setar.

“Kalau dahulu, Balai Besar yang menyaksikan berlangsungnya istiadat pertabalan sultan-sultan. Kini, buat pertama kalinya istiadat itu akan berlangsung di Istana Anak Bukit,” kata Datuk Bijaya Indera merangkap Ketua Istiadat Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah

Beliau memberitahu bahawa tidak semua Sultan Kedah terdahulu dapat ditabalkan dengan penuh adat istiadat berikutan keadaan negara yang tidak aman.

“Mengikut catatan sejarah, istiadat pertabalan Sultan Badlishah tidak dapat diadakan kerana ketika itu Jepun menakluki Tanah Melayu,” katanya.

Angkat Martabat Islam

Istiadat kali ini, atas perkenan Sultan Sallehuddin, akan diadakan penuh gemilang dalam suasana penuh tradisi dan adat resam Kesultanan Melayu Kedah dengan beberapa penambahbaikan.

Sultan Sallehuddin berkenan memberi penghormatan pada Istiadat Perarakan dan Perbarisan Kehormat sempena Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah Ke-29, di Dataran Medan Bandar di sini, semalam. - Foto Bernama

Antara penambahbaikan itu adalah dengan mengangkat martabat Islam dalam penyempurnaan istiadat berkenaan.

“...istiadat akan diisi dengan bacaan doa dan surah-surah yang terkandung dalam kitab suci al-Quran,” katanya.

Uniknya istiadat pertabalan kali ini adalah Sultan Sallehuddin berkenan mengenakan tengkolok gubahan baharu yang diolah daripada tengkolok almarhum ayahanda baginda, Almarhum Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Badlishah yang merupakan Sultan Kedah ke-27.

Syed Unan Mashri berkata tanjak atau tengkolok itu dinamakan “Seri Mahkota” melambangkan kebaikan sifat dan keperibadian Tuanku Sultan Kedah ke-29.

Tengkolok itu disolek menggunakan songket tenunan tangan sepanjang satu meter berwarna kuning dan berbenang emas, melambangkan warna diraja.

Mengulas lanjut, Syed Unan Mashri berkata Tuanku Sultan akan memakai Baju Sikap yang merupakan pakaian istiadat pertama.

“Tuanku menitahkan mahu memakai bengkung lama bersama-sama songket berbenang emas. Bengkung itu pernah digunakan sultan terdahulu dan kini disimpan di perbendaharaan negeri,” jelasnya.

Baginda juga akan mengenakan “Keris Perkasa Alam” yang merupakan keris kerajaan yang digunakan pada setiap istiadat pertabalan.

Penggunaan nobat adalah kemestian pada setiap istiadat istana, begitu juga bagi istiadat pertabalan Sultan Sallehuddin.

Sehubungan itu, Kumpulan Nobat Diraja Kedah yang berusia lebih 400 tahun akan mengiringi beberapa acara ketika istiadat pertabalan itu.

Istiadat penuh tradisi

Istiadat dijadual bermula dengan keberangkatan masuk Sultan Sallehuddin dan Sultanah Maliha Ibni Almarhum Tengku Ariff ke Balairung Seri diiringi pegawai-pegawai yang membawa Cogan Agama, Cogan Alam, Cokmar, Pedang dan Lembing, Juru-juru iring Tentera dan Polis yang didahului oleh Ketua Istiadat.

Sejurus keberangkatan masuk baginda berdua ke Balairung Seri, bacaan selawat dilafaz dengan diikuti paluan nobat.

Pasukan bergajah dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK), Kuala Gandah, "Pian", "Rambai" dan "Alam" menyertai Istiadat Perarakan dan Perbarisan Kehormat sempena Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah Ke-29 di sini, semalam. - Foto Bernama

Selepas Ketua Istiadat memohon limpah perkenan Sultan untuk memulakan istiadat, Datuk-Datuk Bergelar akan membawa masuk peralatan pertabalan dan diletak di meja khas.

Peralatan pertabalan terdiri daripada al-Quran, Watikah Kebawah DYMM Tuanku Sultan, Surat Perisytiharan, Surat Sumpah DiRaja, Keris Kerajaan, Puan Sirih, Kendi dan Benian (sebuah peti yang mengandungi barang-barang berharga yang melambangkan kekuasaan dan kekayaan Sultan Kedah).

Mufti Kedah Datuk Sheikh Fadzil Awang akan memimpin bacaan doa serta membaca kalimah ayat suci al-Quran sebelum Ketua Istiadat mengadap lalu mempersembahkan al-Quran kepada Baginda Sultan yang seterusnya menerima, mengucup dan meletakkan al-Quran itu di tempat khas.

Watikah pengisytiharan sultan

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan membacakan Watikah Pengisytiharan Sultan Kedah, diikuti Ketua Istiadat mengadap untuk mempersembahkan skrol Watikah Sumpah Jawatan untuk dibaca baginda Sultan.

Selesai pembacaan watikah, Ketua Istiadat mengadap untuk mempersembahkan Keris Kerajaan kepada Sultan Sallehuddin yang kemudiannya akan menghunus lalu mengucup dan meletakkannya di meja khas.

Kemudian Ketua Istiadat membuat pengumuman bahawa Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah telah ditabalkan sebagai Sultan Negeri Kedah Yang Ke-29 dan disusuli laungan “Daulat Tuanku” sebanyak tiga kali diikuti oleh para hadirin.

Nobat kemudiannya dipalu diikuti lagu ‘Allah Selamat Sultan’ dimainkan, disusuli tembakan meriam 21 das dan Payung Istiadat dikembangkan.

Sebaik sahaja Sultan Salehuddin dan Sultanah Maliha bersemayam semula di atas singgahsana, Raja Muda Kedah akan mempersembahkan ucapan tahniah bagi mewakili kerabat Diraja. Kemudian, Mukhriz mengambil giliran dengan memberikan ucapan tahniah bagi pihak kerajaan dan rakyat.

Istiadat selesai

Sebaik selesai istiadat, Mufti Kedah sekali lagi memimpin bacaan doa, disusuli Ketua Istiadat mengadap baginda dan mempersembah maklum memohon limpah perkenan untuk menamatkan istiadat.

Syed Unan Mashri berkata Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, Raja-raja Melayu, Sultan atau wakil negara Brunei Darussalam dijadual berangkat menghadiri istiadat itu.

Sultan Sallehuddin dan KDYMM Tuanku Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Binti Almarhum Tengku Ariff menaiki Bahtera "Layang Emas" pada Istiadat Perarakan dan Perbarisan Kehormat sempena Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah Ke-29, di hadapan Dataran Wisma Darul Aman di sini, semalam. - Foto Bernama

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suami Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri juga akan menghadirinya.

Istiadat Pertabalan Sultan Kedah Ke-29 merangkumi Istiadat Letak Kerja pada 20 September, Istiadat Ziarah Makam (5 Oktober), Istiadat Siram Tabal (14 Oktober), Istiadat Perarakan dan Perbarisan Kehormatan (20 Oktober) dan Istiadat Pertabalan pada 22 Oktober.

Pada 12 September 2017, Sultan Sallehuddin dimasyhurkan sebagai Sultan Kedah ke-29 menggantikan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang mangkat sehari sebelumnya.

Sultan Sallehuddin diputerakan pada 30 April 1942 dan merupakan anakanda kesembilan daripada 14 putera dan puteri kepada Sultan Badlishah Sultan Abdul Hamid Halim Shah, yang memerintah Kedah dari 1943 hingga 1958.

Baginda bertemu jodoh de­ngan Sultanah Maliha dan dikurniakan dua putera, Datuk Tunku Sarafudin Badlishah dan Datuk Tunku Shazuddin Ariff. - Bernama