KASIH  yang mendalam terhadap haiwan yang manja dan comel ini dari sejak kecil lagi mendorong Muhammad Hasbullah Ibrahim, 28, untuk membela tujuh ekor kucing pelbagai baka di rumahnya.

Beliau yang juga Setiausaha Kelab Kucing Malaysia (KKM) turut menganggap memelihara haiwan itu satu terapi ketenangan diri.

Semuanya bermula apabila beliau menyelamatkan empat ekor anak kucing daripada digigit anjing beberapa tahun lepas dan kemudian bertekad menjaga kesemua anak kucing itu yang diberi nama Moktam, Shuteh, Leo serta Belang.

Kasihnya terhadap kucing adalah juga hasil nasihat ibunya sendiri yang berkata membela haiwan boleh membawa kebaikan kepada dirinya.

"Antara empat ekor itu, saya paling sayang pada Moktam dan saya ingat lagi ketika kecil, ibu saya sering menasihati saya untuk sayangkan kucing. Kata ibu apabila kita sayangkan haiwan tidak kira haiwan jalanan atau peliharaan, mereka akan mendoakan kebaikan kita.

“Ibu turut berpesan membela haiwan akan membawa rezeki tidak disangka kepada kita dan saya yakin dengan kata-kata ibu saya ini," katanya ketika ditemui sewaktu berlangsung Ekspo Kucing Antarabangsa Malaysia berlangsung di MATRADE Exhibition & Convention Centre baru-baru ini.

Ekspo selama tiga hari itu menyaksikan pelbagai aktiviti berkaitan kucing diadakan. Paling menarik ialah pertandingan kucing terbaik. Lebih 500 kucing bertanding datang dari pelbagai baka antarabangsa berkualiti termasuk British Shorthair, Persian dan Ragdoll.

Kucing dari baka Exotic Shorthair bernama Rizlya Balthazar of Drimqaseh milik Julieka Mat Nasir diumumkan sebagai pemenang.

Tiga kategori orang sayang kucing

Hasbullah yang merupakan peminat tegar mamalia karnivor kecil dari subspesis Felis silvestris catus itu berkata peminat kucing boleh dinilai dari pelbagai kategori dan yang terbaik adalah yang dapat menjaga hak kucing sebagai makhluk sama seperti manusia.

"Orang yang minat kucing ini ada beberapa kategori. Ada yang sekadar minat untuk melihat sahaja dan ada yang membela tetapi tidak menjaga hak kucing itu (seperti memberi makan dan rawatan sepatutnya), tetapi yang terbaik ialah yang dapat membela dan menjaga setiap hak kucing mereka sama seperti menjaga hak manusia," katanya yang menyertai KKM sejak 2008.

Beliau yang bekerja sendiri sebagai pendandan rambut di samping bekerja di sebuah salun di Kampung Pandan berkata walaupun banyak duit gajinya dihabiskan untuk menjaga kucingnya di rumah tetapi beliau turut membantu masyarakat sekitar.

Moktam, si kucing kesayangan hati

Hasbullah, anak keenam daripada 14 beradik itu berkongsi kisah kucing kesayangannya Moktam dan mengapa beliau sayangkan kucing itu.

"Moktam seekor kucing betina bewarna hitam. Nama asalnya 'Tam' dan kerana bentuk badannya yang agak besar membuatkan ia dipanggil 'Mok', maka lekatlah nama Moktam. Kucing ni sangat garang tetapi manja dan suka bermain walaupun umurnya paling tua iaitu 5 tahun, berbanding kucing saya yang lain.

"Walaupun Moktam lebih aktif berbanding kucing saya yang lain tetapi jarang sakit. Moktam tak ada anak berbanding kucing saya yang lain. Kalau kucing saya sakit, saya bawa kucing saya ke Hospital Veterinar Cheras kerana servisnya yang bagus, cepat dan murah," katanya.

Menurut Muhammad Hasbullah, hanya Shuteh yang mempunyai anak sebanyak tiga ekor dan setakat ini jumlah kucing yang ada sebanyak tujuh ekor.

Moktam mempunyai tempat tidur kesukaannya di sudut rumah dengan kain kegemarannya berwarna merah dan hingga kini masih tidur di atas kain itu. 

Beliau turut berkata, daripada kesemua ahli keluarganya hanya lima orang yang meminati kucing termasuk beliau, ibu dan tiga adik-adiknya iaitu Khairullah, Naimullah dan Solehuddin. Bagaimanapun, yang lainnya turut membantu menjaga kucing yang ada di rumah.

Sifat kemanusiaan semakin terhakis

Hasbullah kelihatan termenung panjang sambil mengeluh geram apabila diminta mengulas mengenai kejadian tiga orang yang bertindak kejam membunuh seekor kucing betina dengan memasukkan kucing malang itu ke dalam mesin pengering di kedai dobi di Taman Gombak Ria 11 September lalu.

"Memang kejam! Saya bersetuju sekiranya mereka yang ditangkap dikenakan hukuman sewajarnya, dan harap kerajaan dapat perketatkan lagi undang-undang berkaitan penganiayaan haiwan terutama Akta Kebajikan Haiwan 2015 supaya tiada lagi kejadian seperti ini terjadi," katanya.

Kejadian tragis yang berlaku pada waktu tengah malam itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) kedai dobi berkenaan berdurasi 2 minit 50 saat dan dikongsi di laman Facebook sehingga mengundang kemarahan pelbagai lapisan masyarakat.

Malahan beliau berkata masih banyak kes seperti itu berlaku dalam kalangan masyarakat tetapi tidak diendahkan.

"Kalau kita tengok, banyak lagi kes penderaan haiwan berlaku tetapi kes dobi ini menjadi perhatian hanya kerana tular di media sosial.

"Saya tidak boleh bayangkan bagaimana masyarakat kita semakin hilang rasa sayang terhadap makhluk, malahan yang terbaharu kes seorang lelaki memasukkan anak saudaranya ke dalam mesin dobi tetapi mujur kanak-kanak itu berjaya diselamatkan orang ramai," katanya.

Beliau merujuk kes di Bukit Sentosa, Hulu Selangor 2 Okt lepas apabila seorang lelaki bertindak memasukkan anak saudaranya ke dalam mesin basuh di sebuah dobi di situ dengan niat bergurau sebelum kanak-kanak itu berjaya diselamatkan orang ramai 20 minit kemudian. Laporan akhbar terkini lelaki itu dihukum penjara dua bulan.

Cintakan manusia seiring cintakan haiwan

Ditanya mengenai cadangan bagaimana menangani masalah sebegini daripada menjadi barah, beliau menekankan peri pentingnya didikan ibu bapa di samping ahli masyarakat yang turut membantu ke arah usaha itu.

“Tidak dinafikan, sikap cintakan manusia dan makhluk lain wajib dididik sejak kecil oleh ibu bapa. Ibu bapa bertanggungjawab mencorak masa depan anak-anak mereka.

“Tambahan pula bila kita lihat kes seperti kucing dan kanak-kanak yang dimasukkan ke dalam mesin basuh dobi ini menunjukkan masyarakat kita semakin sakit.

“Setiap anggota masyarakat perlu turut sama bertanggungjawab dan bersatu tenaga memupuk sifat cintakan manusia seiring cintakan haiwan dan makhluk di muka bumi ini,” katanya.- Bernama